Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetap dengan pendiriannya menolak pemberian kontrak kerajaan dan jawatan kepada golongan tertentu dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, setiap ahli parti Bersatu bebas melontarkan pandangan masing-masing dalam amalan demokrasi parti berkenaan.

"Tak guna masuk dan menjawat jawatan yang tinggi tapi pada akhirnya lupakan asal perjuangan yang menyebabkan saya menyertai dunia politik.

"Tetapi, yang bagus, sudah ada kenyataan tegas daripada ketiga-tiga pemimpin parti iaitu (Pengerusi), Tun Dr Mahathir Mohamad, (Presiden), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Mereka bersetuju dengan pandangan Armada. Jadi, saya rasa, dalam bab ini, pemimpin tertinggi bersama dengan pendirian kami (Armada). Ini menunjukkan kita hendakkan budaya politik yang baharu," katanya yang ditemui di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Rabu.

BACA: Isu kontrak: Mukhriz sokong Syed Saddiq

BACA: Kumpul dana sendiri, tidak wajar guna wang kerajaan - Hannah Yeoh

Terdahulu, timbul desas-desus yang mengatakan kononnya ada usaha oleh sebahagian ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyingkirkan Menteri Belia dan Sukan itu susulan kenyataannya yang menyelar ucapan Naib Presiden Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Abdul Rashid pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Ahad lalu sependapat dengan wakil Wilayah Persekutuan, Mohd Shahni Ismail, ketua bahagian Bandar Tun Razak, yang dalam ucapannya meminta kontrak dan jawatan kerajaan diberi kepada pimpinan parti.

BACA: Jangan polemik isu beri kontrak kepada ketua bahagian - Abu Bakar

Sehubungan itu, Syed Saddiq mengecam Abdul Rashid, menegaskan rakyat Malaysia tidak bodoh dan yakin pemimpin tertinggi Bersatu juga menentang usaha mengembalikan amalan politik naungan.

Sementara itu, Dr Mahathir pula berkata, kenyataan Abdul Rashid berhubung pemberian kontrak secara kronisme itu adalah pandangan peribadi dan sama sekali tidak mewakili parti tersebut.