Skip to main content

Malaysia

Pembinaan Pusat Kanser Sarawak dijangka bermula awal 2027

Kredit dan Tag - Alexander Nanta Linggi
Alexander berkata reka bentuk Pusat Kanser Sarawak perlu mematuhi keperluan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan selain menampilkan konsep moden. - Gambar/ FB Alexander Nanta Linggi
Advertisement

KUCHING: Kerja-kerja pembinaan Pusat Kanser Sarawak di Kota Samarahan dijangka bermula pada Januari 2027 sebaik sahaja Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan kepada kontraktor berjaya, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata ketika ini projek itu berada di peringkat tender reka dan bina, dengan 10 kontraktor berjaya melepasi proses prakelayakan dan menghadiri sesi taklimat bagi memahami secara terperinci skop projek sebelum mengemukakan cadangan masing-masing.

“Kontraktor akan diberi tempoh kira-kira tiga bulan untuk menyediakan dan mengemukakan cadangan mereka.

“Selepas proses penilaian selesai, kami berharap SST dapat dikeluarkan pada awal Januari 2027 sebelum kerja-kerja reka bentuk dan pembinaan dimulakan,” katanya selepas lawatan tapak projek berkenaan di sini hari ini.

Alexander berkata kontraktor yang berjaya akan diberikan tempoh 60 bulan untuk menyiapkan kerja-kerja reka bentuk dan pembinaan, diikuti Tempoh Tanggungan Kecacatan selama dua tahun.

Beliau berkata reka bentuk Pusat Kanser Sarawak perlu mematuhi keperluan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan selain menampilkan konsep moden.

“Pusat kanser yang akan dibina bersebelahan Pusat Jantung Sarawak di atas tapak seluas 10.9 hektar (27 ekar) ini berkapasiti 310 katil serta menyediakan perkhidmatan pesakit luar dan pesakit dalam.

”Setakat yang difahamkan, kos keseluruhan projek dijangka melebihi RM1 bilion. Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM1 bilion bagi projek ini dan jumlah itu akan dipulangkan semula kemudian mengikut mekanisme yang telah dipersetujui,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement