IPOH: Pembukaan jalan dan jambatan dari Bagan Datuk ke Kampung Sejagop yang dijadual menjelang Aidilfitri ini ditunda ke penghujung Mei depan, menurut Jabatan Kerja Raya (JKR).

JKR dalam kenyataan hari ini memaklumkan tarikh permulaan operasi itu terpaksa ditunda daripada jadual asal disebabkan terdapat beberapa faktor yang masih perlu diperhalusi.

"JKR ingin melaporkan bahawa projek tersebut masih mempunyai baki kerja yang belum siap terutamanya melibatkan aspek keselamatan oleh pihak kontraktor, sehubungan dengan itu, jabatan ini ingin memaklumkan bahawa tarikh siap projek dan pembukaan jambatan tersebut kepada orang awam adalah pada 31 Mei 2023," menurut kenyataan itu.

JKR turut memaklumkan keputusan tersebut dilakukan setelah melihat kerja-kerja akhir oleh kontraktor utama dan bagi memastikan semua kerja pembinaan dapat diuji secara komprehensif terlebih dahulu dan melalui proses pewartaan sebelum dibuka kepada umum.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk ketika melakukan lawatan ke tapak pembinaan projek jambatan itu pada 23 Jan lepas mengumumkan pengguna jalan raya dijangka boleh menggunakan laluan sejauh 10.5 kilometer (km) dan jambatan merentasi sungai Perak sepanjang 1.5km pada 20 April ini.

Projek bernilai kira-kira RM400 juta itu yang bermula pada akhir 2016, sepatutnya siap pada Oktober 2020 namun berlaku kelewatan atas beberapa faktor terutama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19, selain kenaikan kos bahan binaan, masalah pekerja dan faktor iklim.

Sementara itu, JKR turut menyatakan kenyataan Ahmad Zahid mengenai pembukaan jambatan itu sebelum ini dibuat hasil perancangan serta unjuran oleh kontraktor utama dan penilaian semasa oleh JKR yang optimis jambatan itu dibuka kepada orang awam sebelum Aidilfitri ini.

"JKR selaku agensi pelaksana projek kerajaan sentiasa komited terhadap penyampaian projek mengikut garis masa, kualiti dan kos yang ditetapkan. JKR juga prihatin dengan kesejahteraan pengguna jalan raya dalam menyediakan jalan raya yang selamat dan selesa untuk pengguna," katanya.

-- BERNAMA