KUALA LUMPUR:Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyarankan pembukaan sesi persekolahan pada 20 Januari depan dilakukan secara berperingkat.

Presidennya, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berkata peningkatan kes COVID-19 ketika ini selain keadaan beberapa negeri yang terjejas akibat banjir perlu diambil perhatian oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

"Disebabkan kes meningkat dan vaksin belum kita perolehi, kemudian banjir pula berlaku... kepastian Prosedur Operasi Standard (SOP) di sekolah pun belum dapat dipastikan.

"Saya mencadangkan pembukaan sekolah bukan dibuat serentak, tetapi dibuka secara berperingkat-peringkat.

"Mungkin 20 Januari ini kita berikan (keutamaan) buat pelajar akan menduduki peperiksaan iaitu Tingkatan Lima dan Enam (kerana) mereka perlukan masa bersemuka dengan guru dan juga bersiap sedia untuk peperiksaan," katanya dalam temu bual dengan Astro AWANI pada Ahad.

BACA: Sekolah, institusi pendidikan KPM buka 20 Januari, IPT 1 Mac - Muhyiddin

BACA: Sesi persekolahan dibuka mengikut takwim termasuk di kawasan PKPB - Radzi Jidin


Tambahnya, fasa kedua pembukaan sesi persekolahan pula melibatkan pelajar peringkat menengah rendah.

"(Cadangan ini) Disebabkan perlu kawalan pada peringkat awal untuk pastikan kita dapat kawal penularan ini. Selepas Tahun Baharu Cina baru peringkat kedua babit pelajar menengah rendah... kemudian pelajar lain.

"Kita melihat aspek kawalan... Kita perlu berikan laluan kepada pelajar senior, mereka mudah dikawal, sudah matang dan boleh didisiplinkan dengan lebih baik.

"Tetapi pelajar-pelajar yang junior mungkin perlu dikawal dahulu dan beri laluan kepada pelajar terlibat dalam peperiksaan dahulu," katanya lagi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 31 Disember lalu mengumumkan semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan dibuka pada 20 Januari depan mengikut takwim yang diumumkan sebelum ini.

Ujarnya, pembukaan institusi pendidikan swasta dan antarabangsa yang berdaftar dengan KPM bagi sesi 2021 pula tertakluk kepada kalender akademik institusi tersebut selain mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).