Skip to main content

Malaysia

Pembuli jalan raya tinggalkan trauma berpanjangan kepada mangsa

SEREMBAN, 19 Mac -- Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan menghala Selatan lancar walaupun terdapat pertambahan kenderaan berikutan orang ramai mula pulang ke kampung halaman sempena perayaan Aidilfitri ketika tinjauan hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tan Sri Lee Lam Thye berkata pembuli jalan raya tidak boleh dipandang ringan kerana perselisihan kecil boleh bertukar menjadi pergaduhan dan meragut nyawa. - Foto hiasan/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Insiden pembuli jalan raya yang semakin kerap tular di media sosial sejak kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan pemanduan agresif di negara ini.

Penggunaan kamera papan pemuka (dashcam) yang semakin meluas turut mendedahkan pelbagai tindakan berbahaya seperti membrek secara mengejut, menghalang laluan dan mengejar pengguna jalan raya lain.

Di sebalik rakaman yang menarik perhatian ramai, satu hakikat kurang diberi perhatian selepas kejadian berakhir ialah terdapat mangsa yang terus hidup dalam ketakutan dan mengalami trauma berpanjangan.

Usahawan, Silver Low Yue Seng, 29, berkata beliau hampir terbabit dalam kemalangan ketika memandu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang baru-baru ini.

Low berkata kejadian berlaku ketika beliau dari Kuala Lumpur ke KLIA melalui Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) selepas meminta laluan untuk memotong daripada seorang wanita yang dipercayai menghadapi kesukaran mengendalikan kenderaan.

Beliau berkata wanita itu memperlahankan kenderaan selepas beliau memberikan lampu tinggi, sebelum mengekori kenderaannya sehingga ke plaza tol lapangan terbang.

“Saya bersama rakan-rakan yang membawa anak kecil, jadi saya mengelakkan sebarang konfrontasi. Namun apabila saya cuba memotong sekali lagi, dia membrek secara mengejut sehingga hampir menyebabkan perlanggaran membabitkan tiga kenderaan,” katanya kepada Bernama.

Low berkata keadaan bertambah tegang apabila wanita itu sekali lagi membrek secara mengejut selepas dibunyikan hon oleh seorang pemandu lain.

“Selepas itu saya memotongnya dan memecut meninggalkan kawasan itu. Perkara terakhir yang saya lihat ialah dia menukar lorong secara berbahaya merentasi empat hingga lima lorong memasuki susur keluar Mitsui Outlet Park,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Syira berkata pengalaman melihat bapanya memandu secara agresif sejak kecil menyebabkan beliau trauma dan takut untuk memandu.

“Jika ada pemandu menggunakan lampu tinggi, bapa saya akan mengejar kenderaan itu. Kami sekeluarga sentiasa ketakutan kerana dia sering memandu melebihi had laju walaupun ketika hujan.

“Saya masih ingat kereta kami berpusing dan hampir melanggar pembahagi jalan selepas bapa saya berlumba dengan seorang pemandu lain dalam keadaan jalan basah. Mujur kami tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata pengalaman itu menyebabkan beliau mengalami gangguan emosi ketika mengikuti latihan memandu, termasuk panik berada di jalan raya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata pembuli jalan raya tidak boleh dipandang ringan kerana perselisihan kecil boleh bertukar menjadi pergaduhan dan meragut nyawa.

“Kita perlu melihat isu ini bukan sekadar masalah lalu lintas, tetapi sebagai isu keselamatan awam dan tingkah laku masyarakat,” katanya.

Beliau menjelaskan pembuli jalan raya berpunca daripada tekanan hidup, kesesakan jalan raya, sikap tidak sabar, kurang disiplin dan rasa hormat terhadap pengguna jalan raya lain, selain kegagalan mengawal emosi ketika memandu.

Sehubungan itu, Lee berkata pendidikan pemanduan perlu memberi penekanan kepada aspek kawalan emosi, kesabaran dan pembudayaan sikap saling menghormati.

Ahli Majlis Eksekutif Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia Datuk Suret Singh berkata usaha membendung pembuli jalan raya memerlukan kerjasama Kementerian Pengangkutan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), majikan, syarikat insurans dan pertubuhan keselamatan jalan raya.

Beliau berkata penguatkuasaan perlu diperkukuh dengan memperluas penggunaan rakaman kamera papan pemuka dan kamera litar tertutup (CCTV) selain hukuman lebih berat dan mewajibkan pesalah mengikuti kursus pengurusan kemarahan atau pemanduan berhemah.

“Latihan pemanduan juga perlu memberi lebih penekanan kepada kawalan emosi, pengurusan konflik dan pemanduan berhemah, manakala kempen kesedaran awam di seluruh negara dengan mesej seperti ‘Kekal Tenang, Tiba Dengan Selamat’ perlu dipergiatkan,” katanya.

Beliau turut mengesyorkan penggunaan teknologi seperti kamera papan pemuka, kamera trafik berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan platform pelaporan dalam talian bagi membantu mengurangkan pemanduan agresif.

Katanya, faktor keletihan, tekanan serta pengaruh alkohol atau dadah juga boleh mencetuskan pembuli jalan raya.

Selain itu, Suret berkata penambahbaikan reka bentuk jalan, penandaan lorong dan papan tanda selain tindakan segera membaiki jalan berlubang serta mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dapat membantu mengurangkan tekanan pemandu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement