Pembuli sebenarnya orang yang lemah, walaupun secara fizikal mereka kuat, menurut Presiden Persatuan Psikologi Malaysia Prof Madya Dr Rozmi Ismail.

Beliau berkata ini kerana pembuli tidak dapat mengurus emosi dan fizikal mereka dengan sebaiknya sehingga mereka melepaskannya kepada mangsa buli.

"Kepuasan wujud apabila dapat melihat orang lain menerima kesan daripada tindakan mereka seperti menangis, menjerit, meminta tolong, cedera dimalukan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Akhbar melaporkan kes terbaru buli di sebuah asrama berdasarkan rakaman video yang tersebar luas dalam laman sosial Facebook awal minggu ini.

Berikutan itu semalam Maktab Mahmud Padang Terap, Kuala Nerang, Kedah yang dikatakan tempat kejadian buli itu berlaku, menafikan pelajarnya terlibat.

Klip video berdurasi lebih empat minit itu menunjukkan sembilan pelajar dipukul beramai-ramai oleh pelajar lain di dalam sebuah bilik asrama dan menarik perhatian pengguna laman sosial yang mengutuk perbuatan berkenaan.

Menurut Rozmi, dari sudut psikologi masalah buli berlaku apabila wujudnya kumpulan superior dan inferior.

"Kumpulan superior ialah kumpulan yang telah diakui dan dikenali pengaruh mereka, dan dianggap berkuasa serta mempunyai autoriti dalam kumpulan," katanya.

Beliau berkata mereka yang termasuk dalam golongan ini tidak dipersoalkan tindakan mereka, dan berbeza sekali dengan kumpulan inferior.

Dalam masa yang sama kumpulan ini melihat kumpulan minoriti (inferior) ini akan mengikut dan menghormati arahan mereka.

"Kumpulan inferior telah sedia faham bahawa mereka mesti menurut segala arahan tanpa melawan kerana merasakan bahawa mereka ini lemah dan bimbang akan memburukkan lagi keadaan jika melawan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru (Mabim) Prof Madya Dr Muhd Ali Hassan menyifatkan jika wujud sifat kekeluargaan dalam kalangan pelajar, masalah buli tidak akan wujud.

"Pelajar adalah satu keluarga besar, persaudaraan harus dipupuk dalam kalangan mereka bagi memastikan mereka saling menghormati antara satu sama lain," katanya.

Justeru beliau berkata pihak sekolah perlu memperbanyakkan aktiviti yang boleh memupuk sifat kasih sayang antara pelajar.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Terengganu, Ghazali Taib berkata penekanan harus diberikan kepada aktiviti yang padat dan teratur bagi memastikan pelajar di asrama sentiasa mengisi masa lapang mereka dengan baik.

Langkah ini boleh mengelakkan risiko berlaku kes buli, katanya.

"Semua pihak perlu berganding bahu untuk memastikan pelajar asrama sentiasa selesa dan hidup harmoni selaras matlamat mereka tinggal di asrama untuk memberi fokus terhadap pelajaran mereka," kata Ghazali.