Skip to main content

Malaysia

Pemegang kad UNHCR tetap tertakluk undang-undang negara - JIM

71624069213_UNHCRJIM.jpg
Kerajaan tidak lagi mahu bergantung sepenuhnya kepada data dibekalkan oleh UNHCR bagi menentukan jumlah sebenar pelarian di Malaysia. - Gambar fail/Arkib
Advertisement

PORT DICKSON: Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak kebal daripada tindakan penguatkuasaan dan tetap tertakluk kepada undang-undang Malaysia jika melakukan kesalahan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Datuk Zakaria Shaaban berkata, walaupun pemegang kad UNHCR yang sah tidak ditahan atas kesalahan imigresen berkaitan ketiadaan dokumen, namun mereka masih boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa jika melanggar undang-undang lain.

“Kalau mereka tiada dokumen, itu tanggungjawab JIM. Kita akan tahan dan tempatkan mereka di depot imigresen. Jika mereka mempunyai kad UNHCR, dari segi hak asasi kita tidak boleh menahan mereka (tetapi) hanya membuat pemeriksaan dan sebagainya.

“Namun mereka tertakluk kepada undang-undang lain. Kalau dia melakukan jenayah misalnya, polis boleh ambil tindakan. Kalau dia ada kad UNHCR, kita boleh periksa sama ada ia asli atau tidak,” katanya kepada pemberita.

Zakaria berkata demikian selepas menghadiri Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Asas dan Sijil Tinggi Keimigresenan siri 1/2026 kepada 124 pegawai yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Dr Awang Alik Jeman di Akademi Imigresen Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata KDN ketika ini melaksanakan proses pendaftaran menyeluruh terhadap semua pelarian di negara ini termasuk pemilik kad UNHCR yang telah memasuki fasa pertama dan akan diteruskan sehingga penghujung tahun.

Beliau berkata kerajaan tidak lagi mahu bergantung sepenuhnya kepada data dibekalkan oleh UNHCR bagi menentukan jumlah sebenar pelarian di Malaysia.

“Berdasarkan data mereka, ada lebih 200,000 pelarian berdaftar membabitkan lebih 140 negara dengan majoritinya Rohingya dari Myanmar. Kita percaya lebih ramai pelarian berada dalam negara ini berbanding data dibekalkan UNHCR,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata JIM menahan 33,145 warga asing menerusi 5,430 operasi di seluruh negara atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk penyalahgunaan pas lawatan sosial untuk bekerja dan berniaga di negara ini setakat 15 Jun.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 868 majikan terdiri daripada 825 warga tempatan dan 43 warga asing dikenakan tindakan kerana menggaji dan melindungi warga asing tanpa permit kerja atau pas yang sah.

“Tidak dinafikan berlaku salah guna pas lawatan sosial atau sebagainya, namun tanggungjawab menanganinya bukan hanya terletak pada penguat kuasa, tetapi juga majikan. Hampir 95 peratus (daripada yang dikenakan tindakan) ialah warga tempatan.

“Mereka dalang dan memberi ruang kepada warga asing untuk berada dalam negara secara tidak sah. Kita tidak akan berkompromi dengan majikan yang melindungi ataupun menggaji pekerja asing tanpa permit sah,” katanya. 

Zakaria juga memaklumkan sebanyak 22,151 individu ditempatkan di depot tahanan imigresen di seluruh negara setakat 14 Jun.

Terdahulu, Awang Alik ketika berucap berkata KDN tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku atau pelanggaran disiplin dalam kalangan anggota, tanpa mengira agensi di bawah kementerian itu.

“Jika terdapat laporan salah laku sampai kepada saya, pegawai atau anggota terbabit akan direhatkan daripada tugas sementara siasatan dijalankan.

“Lebih 14,000 memohon jawatan dalam JIM kali ini tetapi hanya 124 terpilih. Ini bermakna setiap pegawai dan anggota perlu sentiasa mengekalkan prestasi kerja serta tahap disiplin tinggi kerana mereka boleh digantikan pada bila-bila masa jika gagal memenuhi piawaian yang ditetapkan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement