PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen hari ini mengesahkan warga asing dengan Pas Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh, perlu meninggalkan negara ini sebelum atau pada 21 April ini.

Merujuk kepada laporan berita berkenaan warga asing yang memegang PLS perlu meninggalkan negara ini sebelum 21 April, Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil.

Beliau berkata, mereka yang mempunyai kekangan untuk pulang ke negara asal, boleh memohon Pas Khas untuk melanjutkan tempoh tinggal di negara ini, tetapi perlu disokong oleh kedutaan masing-masing.

"Dokumen pembuktian mengenai tempat tinggal dan kemampuan kewangan sepanjang berada di negara ini hendaklah disertakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut laporan yang disiarkan portal berita sejak beberapa hari lepas, warga asing dari beberapa negara telah menerima e-mel dari kedutaan mereka di Malaysia, yang memaklumkan mereka hanya mempunyai masa sehingga 21 April untuk meninggalkan negara ini, tanpa didenda atau ditahan.

Laporan itu menyatakan, tarikh tamat itu berdasarkan tempoh penangguhan kerajaan Malaysia untuk warga asing yang memegang pas lawatan sosial tamat pada tahun lepas, susulan terkandas akibat sekatan kawalan pergerakan.

Merujuk kepada laporan itu Khairul Dzaimee berkata, Jabatan Imigresen memahami terdapat pelawat asing yang menghadapi kesukaran untuk pulang ke negara mereka, atas faktor ketiadaan penerbangan dan situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara asal mereka.

Namun beliau mendedahkan pihaknya, menemukan beberapa kes penyalahgunaan PLS oleh pelawat asing melalui operasi penguatkuasaan yang dijalankan, antaranya bekerja di pusat hiburan, rumah urut dan melibatkan diri dengan aktiviti pelacuran, 'scammer', serta kesalahan lain yang melanggar undang-undang.

"Sejak tahun lepas sehingga hari ini, sebanyak 291 operasi penguatkuasaan ke atas premis hiburan dan rumah urut, dengan seramai 1,281 warga asing dan 83 majikan telah ditahan," katanya.

"Warganegara asing yang diberi kebenaran untuk tinggal di negara ini atas PLS berkenaan, hendaklah mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan di bawah Akta Imigresen," katanya.

-- BERNAMA