KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan takziah kepada keluarga Shinzo Abe, atas pemergian bekas Perdana Menteri Jepun itu.

Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini berkata, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian mendiang dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.

Selain itu, Istana Negara berkata, Seri Paduka Baginda menyifatkan pemergian mendiang sebagai kehilangan besar negara Jepun dan rakyatnya.

“Mengimbas kembali pertemuan Seri Paduka Baginda dengan Shinzo Abe, Baginda telah berkenan menerima menghadap beliau, yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, di Istana Negara pada 11 Mac 2022 lalu.

“Shinzo Abe pada ketika itu dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia sempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur dan 65 tahun penubuhan hubungan diplomatik Malaysia dan Jepun,” menurut catatan berkenaan lagi.

Istana Negara berkata, sewaktu pertemuan tersebut, Seri Paduka Baginda turut telah berkenan menganugerahkan ljazah Kehormat Doktor Falsafah Dalam Politik Ekonomi kepada Abe sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sesi menghadap tersebut merupakan pertemuan kedua Seri Paduka Baginda dengan beliau, selepas yang pertama ketika Baginda menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun ke-126 Maharaja Naruhito di Istana Imperial, Tokyo, Jepun pada 23 Oktober 2019.

BACA: Bekas PM Jepun Shinzo Abe ditembak 

BACA: Suspek akui tidak berpuas hati dengan Shinzo Abe
 

Awal hari ini media melaporkan Abe telah terkena tembakan ketika sedang berucap pada satu majlis di bandar Nara, barat Jepun, pada Jumaat.

Menurut laporan beberapa agensi berita antarabangsa, Abe, 67 tahun, rebah dalam keadaan berdarah dan dikejarkan ke hospital berdekatan.

Media melaporkan, kedengaran bunyi seperti tembakan ketika kejadian dan seorang suspek lelaki telah ditahan di lokasi sama.

Bekas Perdana Menteri itu disahkan meninggal dunia pada pukul 5.03 petang (waktu tempatan).

Doktor yang merawat Abe dalam satu sidang media sejurus selepas pemergian beliau diumumkan pada Jumaat berkata, Abe meninggal dunia akibat pendarahan berlebihan selepas ditembak di bahagian dada dan leher.