Pemerintahan Siber dan Elektronik Pertahanan ATM dijangka dilancar Disember ini

Adly berkata pengisian keupayaan Pemerintahan Siber dan Elektronik Pertahanan itu akan dilaksana secara berfasa melalui Rancangan Malaysia Ke-13.
KUALA LUMPUR: Pemerintahan Siber dan Elektronik Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka dilancarkan secara rasmi pada Disember ini, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Beliau berkata pelan peralihan pertahanan negara ke arah ketenteraan pintar sedang digerakkan melalui transformasi yang memberi penekanan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI), automasi sistem senjata dan pembangunan keupayaan peperangan siber.
"Pemerintahan siber ini berperanan sebagai pusat graviti dalam operasi siber dan elektromagnetik manakala konsep Angkatan Masa Hadapan membentuk doktrin, struktur serta aset berteknologi tinggi yang mampu beroperasi dalam persekitaran peperangan digital," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mengenai pelan peralihan teknologi pertahanan Malaysia ke arah ketenteraan pintar termasuk penggunaan AI, sistem automasi senjata dan peperangan siber.
Adly berkata pengisian keupayaan Pemerintahan Siber dan Elektronik Pertahanan itu akan dilaksana secara berfasa melalui Rancangan Malaysia Ke-13.
Menjawab soalan tambahan Muhammad Ismi mengenai pelan latihan semula terhadap anggota ATM supaya mereka berupaya mengendali sistem automasi dan AI yang semakin kompleks, Adly berkata kementerian memberi penekanan kepada lapan aspek berkaitan perkara itu.
Beliau berkata ia melibatkan langkah memanfaatkan AI dalam pengawasan di darat, air dan udara, kepakaran penggunaan dron ketenteraan, pertahanan siber, sistem senjata pintar serta penggunaan kenderaan tanpa pemandu.
Selain itu, Adly berkata ia melibatkan langkah memanfaat penggunaan AI dalam sistem komunikasi dan perisikan, simulator latihan serta keperluan logistik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


