Perwakilan Umno yang akan mengundi pucuk pimpinan tertinggi dan bahagian hari Sabtu diharap mengambil kira pandangan orang luar bagi memastikan pemimpin yang dipilih relevan bukan sahaja kepada anggota Umno tetapi juga rakyat.

Ini kerana kata Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, walaupun bukan anggota Umno, mereka akan menjadi perwakilan dalam pilihan raya umum akan datang yang menentukan kepimpinan negara.

"Pengundilah yang akan membuat keputusan dan menilai apakah keputusan pemilihan Umno menepati cita rasa dia. Jadi ini bukan terhad kepada perwakilan pemilihan, kita perlu ambil kira pandangan orang di luar Umno," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah sebelum itu mempengerusikan mesyuarat badan itu.

"Presiden dan Timbalan Presiden Umno adalah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Apa Umno putuskan menjadi dasar kerajaan. Itu sebab orang nak ambil tahu apa kita buat dan siapa yang kita pilih sebagai pemimpin.

"Umno tidak sama macam parti-parti lain, jauh lagi daripada parti pembangkang...tak ada pengaruh seperti yang wujud dalam Umno," katanya lagi.

Mukhriz yang bertanding jawatan naib presiden juga yakin perwakilan sudah membuat keputusan mengenai siapa yang akan mereka undi.

"Setelah berusaha selama dua minggu, kini berserah sahaja kepada Allah. Sekarang masa untuk bertawakal. Tak ada apa yang boleh dilakukan sekarang kerana tinggal berapa jam sahaja.

"Saya dah jelajah seluruh negara, tidak kesemua perwakilan saya dapat jumpa. Jumlah perwakilan terlalu ramai...146,500 orang," katanya.

Sementara itu katanya beliau gembira dengan keputusan ibu pejabat Umno supaya keputusan pemilihan bagi jawatan Majlis Tertinggi esok diumum di bahagian.

"Ini untuk elak berlaku perbezaan keputusan dengan apa yang diputuskan di bahagian dan ibu pejabat. Ini pendekatan lebih telus dan elak perkara tidak diingini. Saya ingat ini pengajaran daripada mesyuarat ketiga-tiga sayap (Sabtu lepas). Penambahbaikan ini sangat dialu-alukan," katanya.