Skip to main content

Dunia

Pelajar hilang sebahagian tangan dalam insiden protes sekolah di Perancis

Pelajar cuba mengelak gas pemedih mata semasa protes membantah kekurangan sumber dan kemudahan di sekolah-sekolah di Lyon, Perancis. - Foto AP
Pelajar cuba mengelak gas pemedih mata semasa protes membantah kekurangan sumber dan kemudahan di sekolah-sekolah di Lyon, Perancis. - Foto AP

Advertisement

PARIS: Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun kehilangan sebahagian tangannya dalam satu insiden ketika pertembungan antara penunjuk perasaan dan polis berhampiran sebuah sekolah di bandar Lens, utara Perancis, ketika gelombang protes pelajar di negara itu berterusan.

Menurut Prefek Pas-de-Calais, Francois-Xavier Lauch, kejadian yang disifatkan sebagai "amat serius" itu berlaku pada pagi Isnin berhampiran Sekolah Menengah Auguste Béhal.

Beliau berkata nyawa pelajar itu tidak berada dalam bahaya dan mangsa telah dibawa segera ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan.

Laporan media Perancis memberikan gambaran berbeza mengenai punca kecederaan tersebut.

Agensi berita AFP, memetik sumber kesatuan polis, melaporkan pelajar itu dipercayai mengambil grenad "sting-ball" yang dilepaskan polis antirusuhan sebelum ia meletup di tangannya.

Bagaimanapun, akhbar serantau La Voix du Nord melaporkan seorang pelajar perempuan yang berada berhampiran mangsa menafikan dakwaan itu dan berkata remaja berkenaan tidak menyentuh atau mengambil grenad tersebut.

Datuk Bandar Lens, Sylvain Robert, berkata keadaan sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan dan memerlukan siasatan lanjut.

Seorang pendakwa raya wilayah memaklumkan bahawa siasatan akan dijalankan oleh Inspektorat Am Polis Kebangsaan (IGPN), badan pemantau polis Perancis, bagi mengenal pasti secara tepat apa yang berlaku.

Menurut Lauch, perhimpunan pelajar yang lebih besar daripada hari-hari sebelumnya telah berkumpul di luar sekolah berkenaan.

Beliau mendakwa sebahagian peserta membaling batu, bunga api dan mercun mortar ke arah anggota polis yang bertugas, menyebabkan pasukan polis antirusuhan (CRS) dikerahkan untuk mengawal keadaan.

Susulan insiden itu, pihak sekolah mengumumkan pembelajaran akan diteruskan secara dalam talian bagi menjamin keselamatan warga sekolah.

Pusat sokongan dan kaunseling turut diwujudkan untuk membantu pelajar serta kakitangan yang terkesan.

Gelombang protes pelajar di Perancis tercetus sejak akhir September apabila pelajar sekolah menengah membantah kekurangan guru dan kakitangan, kelas yang sesak serta keadaan bangunan sekolah yang semakin uzur.

Demonstrasi itu kemudiannya disertai pelajar universiti yang mengemukakan tuntutan serupa.

Menteri Pendidikan Perancis, Edouard Geffray, berkata sekurang-kurangnya 190 pelajar cedera sejak protes bermula.

Pada minggu lalu, seorang pelajar berusia 14 tahun di Saint-Ouen-l'Aumone dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas terkena grenad gas pemedih mata di kepala, menyebabkan rahangnya patah dan memerlukan pembedahan besar.

Menurut AFP, lebih 5,000 individu telah ditahan sejak gerakan protes itu bermula, dengan kira-kira 85 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan bawah umur.

Walaupun pihak berkuasa melaporkan jumlah sekolah yang terjejas menurun kepada 589 buah pada Isnin berbanding 735 sekolah pada Jumaat lalu, beberapa pertubuhan pelajar dan kesatuan guru telah menyeru supaya lebih ramai peserta menyertai demonstrasi baharu yang dijadual berlangsung pada Selasa.

Sebagai respons terhadap krisis itu, kerajaan Perancis mengumumkan penubuhan sebuah platform perundingan nasional bagi membolehkan pelajar dari seluruh negara melaporkan masalah yang mereka hadapi di institusi pendidikan masing-masing.

Geffray berkata kerajaan berharap sebahagian besar isu yang dibangkitkan pelajar dapat diselesaikan menjelang 16 Oktober.

 

 

Must Watch Video

Advertisement