KUALA LUMPUR : Seorang pengamal media arus perdana meminta polis mengambil tindakan terhadap seorang pengguna media sosial yang mengeluarkan komentar jelik berhubung nahas dua helikopter terhempas semasa menjalani latihan raptai di ruang udara Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut semalam.

Wat Kamal Abas, 51, berkata tindakan itu dianggap melampau dan tidak menghormati sensitiviti keluarga yang masih berada dalam keadaan sedih akibat kehilangan ahli keluarga akibat tragedi tersebut.

"Pengguna media sosial atas nama Saifuddin Shafik telah memberi komen dengan perkataan 'Baru raptai dah mampos. Tak sempat nak perang', di akaun X, semalam.

"Perkataan biadap seperti itu sepatutnya tidak dikeluarkan ketika ramai rakyat khususnya kaum keluarga mangsa sedang dalam kesedihan kerana kehilangan ahli keluarga," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, kira-kira 94 kilometer (km) dari sini, semalam.

Wat Kamal berkata perkara itu juga tidak boleh dipandang enteng kerana ia mampu menimbulkan pelbagai impak negatif kepada masyarakat.

"Pihak berkuasa dan bahagian perundangan perlu mengenakan hukuman yang maksimum terhadap pelaku sebagai satu pengajaran," katanya.

-- BERNAMA