PETALING JAYA: Pemilik sebuah kenderaan jenis kargo am didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas kesalahan melepaskan asap hitam melebihi had ketumpatan yang dibenarkan.

Hakim Jamaludin Mat menjatuhkan hukuman itu terhadap pemilik tunggal kenderaan tersebut yang hadir selaku orang kena saman (OKS) setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Menurut pertuduhan, pada 31 Oktober 2019 di Plaza Tol Sunway, Lebuhraya Kesas, pemilik kenderaan didapati telah melepaskan pencemaran ke udara iaitu asap hitam daripada paip ekzos kenderaan dengan ketumpatan sebanyak 99.9 peratus.

Kadar itu melebihi had ketumpatan maksimum asap yang dibenarkan iaitu sebanyak 50 peratus di bawah Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996.

BACA: Pemilik kenderaan didenda RM60,000, lepas asap hitam lebih had

OKS didapati telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 22(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(3) akta yang sama.

Mengikut akta itu, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, JAS akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi kepada penjenayah alam sekitar.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat tentang aktiviti-aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

"Saya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.