ALOR SETAR: Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini memerintahkan seorang lelaki yang juga pemilik pasar raya mini dijatuhi membayar denda RM30,000 atas kesalahan menawarkan suapan seutas rantai leher emas kepada seorang anggota polis bagi melepaskan dirinya daripada dikenakan undang-undang di sebuah hotel di Alor Setar pada September 2022.

Tertuduh, V Sancheev, 27, membuat pengakuan salah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah selepas pertuduhan pilihan dibacakan oleh jurubahasa di Mahkamah Sesyen Alor Setar.

Jika gagal dibayar, tertuduh berdepan hukuman penjara 12 bulan manakala rantai emas itu dilucutkan hak kepada kerajaan.

Mengikut pertuduhan, satu pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah menyerbu sebuah bilik hotel di Alor Setar dan menemui satu peket lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine berada di atas meja tepi dinding di dalam bilik tersebut pada jam 1.30 petang, 7 September 2022.

Tertuduh serta dua rakannya telah ditahan dalam serbuan tersebut.

Semasa pemeriksaan sedang dijalankan, tertuduh berterusan merayu kepada pengadu yang berpangkat sub Inspektor dan menawarkan seutas rantai emas kepada pengadu seberat 17.5 gram yang bernilai RM4,649.95.

Penawaran itu sebagai balasan melepaskannya daripada menerima hukuman undang-undang bagi kesalahan memiliki dadah jenis methamphetamine.

Sancheev didakwa mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan melakukan kesalahan serta dihukum di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan hukuman penjara boleh sampai seperempat daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegaham Rasuah Malaysia, Rehab Abdul Shukur manakala tertuduh tidak diwakili peguam.