PETALING JAYA: Pemilik Toyota Alphard yang dikesan kerana menggunakan lampu mata arah (strobe light) di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), di sini pada Rabu akan dipanggil polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, kejadian itu telah tular di media sosial Facebook memaparkan kenderaan itu menggunakan 'strobe light' tanpa kebenaran.

Menurutnya, berdasarkan rakaman perakam papan pemuka kenderaan (dashcam), kejadian berlaku kira-kira jam 6.20 petang.

"Hasil pemerhatian, insiden itu tidak melibatkan kemalangan kepada pengguna jalan raya lain.

"Pemilik kenderaan jenis Toyota Alphard itu akan dipanggil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kes disiasat oleh Inspektor Mohamad Khairil Helmi di bawah Kaedah 94 Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959.

Katanya, polis mengingatkan serta memohon semua pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.

"Pihak polis tidak akan berkompromi kepada mana-mana pemandu yang memandu secara merbahaya dan akan memanggil tindakan tegas kepada mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang," ujarnya. - Sinar Harian