KUALA LUMPUR:Sudah sampai masanya pemimpin politik yang mewakili kelompok Melayu 'duduk semeja' mencari jalan untuk memperbaiki keretakan perpaduan kaum sendiri.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berkata, sekarang bukan masa mana-mana pemimpin politik Melayu untuk berhujah dengan jumlah sokongan yang dimiliki, penolakan individu tertentu sebagai Perdana Menteri, meruntuhkan kerajaan sedia ada dan menyebarkan pelbagai provokasi serta fitnah ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

"Saya merayu kepada pemimpin politik Melayu supaya menghentikan hujah 'bagaimana dan apa akan jadi kepada masa depan politik kita', sebaliknya berfikirlah secara ikhlas 'bagaimana nasib dan masa depan orang Melayu dan umat Islam jika kita asyik bergasak dan berebut kuasa?'.

"Lupakanlah perbalahan politik dan percanggahan pendapat sesama pemimpin Melayu kerana jika dibiarkan berterusan, natijahnya akan memporak-perandakan kesatuan dan penyatuan orang Melayu.

"Negara boleh hancur dengan kegilaan politik melampau pemimpin Melayu yang rakus dan tamak haloba," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya, pada Isnin.

BACA: Annuar Musa saran Zahid Hamidi pimpin UMNO hingga tamat penggal

BACA: 
Anwar dakwa kerajaan pimpinan Muhyiddin berada di lembah kegilaan

Dalam pada itu ujarnya, sudah sampai masa keretakan hubungan yang berlaku akibat pertarungan kuasa politik segera diperbaiki.

Tambahnya, semua pihak perlu mengetepikan ego dan kesombongan demi kepentingan rakyat serta negara.

"Pemimpin parti-parti politik yang berteraskan perjuangan orang Melayu harus melihat ke hadapan untuk bersama berfikir bagaimanakah cara terbaik menyatupadukan orang-orang Melayu yang kini sudah berpecah-belah.

"Saya amat khuatir Melayu akan terus berpecah dan akhirnya hilang kuasa di tanahairnya sendiri akibat pertelagahan dan percakaran sesama pemimpin kerana ketaksuban ideologi politik berbeza.

"Saya cukup bimbang musuh-musuh politik Melayu seperti DAP akan mengambil kesempatan dengan 'menangguk di air keruh' untuk menguatkan cengkaman kuasa politik mereka akibat kehancuran kuasa Melayu," tegasnya.

Syed Ali turut menyarankan Tan Sri Muhyiddin Yassin diberikan sokongan untuk terus mengurus negara selaku Perdana Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga tamat tempoh.

"Ia demi kelangsungan penyatuan orang Melayu dan mengambil kira situasi negara masa kini.

"Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), terserahlah kepada rakyat untuk menetukan pilihan mereka," katanya.

Beliau turut berpendapat, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak sewajarnya didesak bertubi-tubi supaya 'berehat'.

"Parti terbesar orang Melayu itu sepatutnya diperkukuhkan untuk berdepan cabaran PRU15 akan datang dengan menjadikan PRU14 sebagai pengajaran dan iktibar.

"Walaupun begitu, jika ada kewajaran UMNO akan menjadi lebih kuat dan ahli-ahlinya bersatu hati dengan pengunduran Ahmad Zahid, adalah tidak manis dan seperti kurang beradab jika desakan sedemikian dibuat secara terbuka menerusi media sosial atau sebagainya.

"Sebaliknya lebih berhemah dan berdisiplin jika ia diputuskan menerusi Perhimpunan Agung atau pemilihan parti, seperti kelazimannya," katanya.