KUALA LUMPUR : Beberapa ahli parti muda UMNO khususnya Puteri hari ini tampil menyuarakan pandangan berhubung pemilihan kepimpinan UMNO termasuk menyarankan agar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur secara terhormat sebagai Presiden.

Kenyataan tersebut menyusul selepas seruan yang dibuat oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Onn Hafiz Ghazi agar ahli parti bersuara dan bercakap benar mengenai luahan akar umbi dan rakyat berhubung calon Perdana Menteri daripada UMNO.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Simpang Renggam, Suzana Banoo Shaikh Shafiullah dalam kemas kini di laman Facebook berkata, sokongan sama ada Ahmad Zahid menarik diri atau pemilihan UMNO perlu dilakukan segera.

"Menyokong agar Datuk Seri Zahid Hamidi menarik diri dengan cara terhormat daripada kepimpinan tertinggi UMNO ataupun membuat pemilihan UMNO dengan kadar segera supaya mendapat mandat penuh ahli UMNO untuk kepimpinan yang baharu," katanya dalam entri tersebut.

BACA: Nazri Aziz pula gesa Zahid berundur, mahu Mat Hasan ambil alih

Jelas beliau lagi, rakyat mahu melihat kepimpinan UMNO yang baharu untuk mengetuai kerajaan pada masa akan datang dengan lebih relevan.

Tegasnya, anak muda mahukan sebuah kerajaan yang dipimpin oleh seorang yang tidak mempunyai kepentingan peribadi semata-mata.

Sementara itu, Pengerusi Tetap Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nur Ain A. Rahman berkata 'kemudi' parti disifatkan potrait seorang calon Perdana Menteri.

Justeru, individu tersebut harus bersedia dan berjiwa besar demi kekuatan dan masa depan parti.

"Mahu atau tidak kita kena akui parti kita tak sekuat dahulu dan adalah sukar kembali kuat seperti dahulu.

"Rakyat menilai kemudi utama untuk menyokong perjuangan parti dan memilih parti pentadbir. Jiwa besar, pengorbanan besar demi sebuah masa depan perjuangan," tulisnya.

BACA: Mahu siapa calon PM dari UMNO? Tanya orang terdekat! - Onn Hafiz


Nasib Penjaga Gol | Penjaga gol Terengganu FC dilanda kemurungan

Dalam perkembangan sama, Naib Ketua Puteri UMNO Johor, Adibah Safar pula secara berkias berkata untuk memilih pemimpin parti, individu berkenaan 'biarlah elok akal dan perangai'.

Terdahulu, Onn Hafiz berkata, calon Perdana Menteri yang ditawarkan oleh UMNO menjadi penentu kepada kemenangan dan mandat yang akan diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Untuk mengetahui kehendak rakyat, Onn Hafiz berkata ahli parti perlu bertanya kepada mereka yang terdekat mengenai calon Perdana Menteri yang benar-benar layak mewakili parti itu.

Kali terakhir pemilihan pucuk kepimpinan UMNO berlangsung pada 30 Jun 2018 dan tempoh itu akan tamat pada Jun depan.

[TERKINI] Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid nafi audio perbualan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim