Pemimpin seterusnya perlu berintegriti, ikhlas berkhidmat - Abang Johari

Abang Johari berucap pada Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2026 sempena sambutan sembilan tahun beliau memegang jawatan tersebut di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di Kuching, malam tadi. -- fotoBERNAMA
KUCHING: Pemimpin yang bakal menggantikan Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menggalas amanah sebagai Premier Sarawak perlu memiliki keperibadian kukuh, integriti yang tinggi serta keikhlasan dalam berkhidmat kepada rakyat.
Ringkasan AI
- Pemimpin ganti Abang Johari perlu memiliki keperibadian kukuh, integriti tinggi, dan keikhlasan berkhidmat kepada rakyat.
- Abang Johari menekankan integriti sebagai elemen penting dalam kepimpinan, menegaskan kesilapan boleh memberi kesan besar pada masa hadapan Sarawak.
- Sarawak memerlukan pemimpin yang faham realiti masyarakat berbilang kaum, mampu mengekalkan keharmonian dan keamanan negeri dalam proses pembangunan.
"Ini pandangan saya ... saya beri pendidikan percuma sebab dalam Islam apabila kita meninggal dunia, hanya amalan kita (sewaktu hidup) akan membantu kita di akhirat. Kalau tidak kerana anda (rakyat) manalah saya dapat jadi Premier," katanya pada program 'Townhall Premier Sembilan Tahun Bersama YAB Premier Sarawak', malam tadi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan seorang penonton yang bertanyakan siapa individu berpotensi menggantikannya sebagai Premier Sarawak pada masa hadapan.
Berkecimpung dalam arena politik selama lebih empat dekad, beliau menekankan integriti menjadi elemen paling penting dalam kepimpinan kerana sebarang kesilapan atau penyalahgunaan kuasa boleh memberikan kesan besar pada masa hadapan negeri.
Abang Johari berkata Sarawak memerlukan pemimpin yang memahami realiti masyarakat berbilang kaum dan agama, selain mampu mengekalkan keharmonian dan keamanan negeri dalam proses pembangunan negeri.
Beliau berkata barisan pemimpin muda perlu dilatih dan mempersiapkan diri supaya mereka benar-benar bersedia memikul tanggungjawab besar, bukan sekadar terburu-buru mengejar jawatan Premier.
"Pemimpin mesti dilatih, saya ucapkan terima kasih kerana saya telah dilatih oleh pemimpin sebelum saya termasuklah Tun Abdul Rahman Ya'kub dan Tun Abdul Taib Mahmud. Masanya akan tiba, saya akan 'bye-bye'... terpulang pada generasi akan datang untuk bangunkan Sarawak dengan cara baharu," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


