PUTRAJAYA : Kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa pemimpin-pemimpin UMNO ‘dilanyak’ seperti pembangkang dalam Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai pandangan peribadi, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Presiden UMNO itu, beliau menyerahkan kepada masyarakat terutamanya ahli-ahli UMNO untuk menilai sendiri perjalanan politik negara.

“Itu pendapat beliau (Ismail Sabri)… selalunya begitulah apabila seseorang atau mana tokoh yang telah meninggalkan jawatan berpuluh tahun, lima tahun, sembilan tahun, 22 bulan, 17 bulan atau lebih 14 bulan, mereka merasakan bahawa kepimpinan yang diterajui mereka adalah terbaik dan selepas itu semua  tak baik,” kata Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri  perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi bulan Februari anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat di sini, pada  Khamis.

Dalam satu temu bual eksklusif dengan sebuah akhbar berbahasa Melayu baru-baru ini, Ismail Sabri berkata, pemimpin-pemimpin UMNO ‘dilanyak’  seperti pembangkang, sekali gus mengangkat pemimpin dari parti-parti lain.

“Sekarang kalau kita perhatikan, ada yang ‘lambung’ sehingga perkara tidak munasabah yang dilakukan kerajaan sekarang pun kadang-kadang dipertahankan,” tegas Ismail Sabri dalam wawancara berkenaan.

BERITA LANJUT MENYUSUL