IPOH:Seorang pemotong rumput didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas dua tuduhan menghalang dan mencederakan seorang penjawat awam di Buntong, Ipoh pada Selasa.

P. Subramaniam, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut kertas pertuduhan dia didakwa dengan sengaja menghalang Sarjan Mohd Zainudin Mohd Jidin apabila enggan menunjukkan kad pengenalan ketika diminta berbuat demikian.

Dia turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis berkenaan dengan memukul kepalanya menggunakan topi keledar iaitu alat yang jika digunakan untuk menyerang, boleh menyebabkan kematian.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di kawasan Jalan Sungai Pari, berdekatan Flat Harmoni, Buntong, kira-kira jam 3.15 petang, 12 Januari lalu.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi tuduhan kedua pula, dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua dari hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua tuduhan dan menetapkan 18 Februari untuk tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K. Darinee manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh.

Terdahulu, Ranjit memberitahu mahkamah anak guamnya akan membuat laporan polis kerana mendakwa ketika kejadian, anggota polis berkenaan tidak memakai uniform dan tidak memperkenalkan diri sebagai anggota polis.