JOHOR BAHRU: Seorang pempengaruh media sosial mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan pecah amanah wang milik bekas pramugari berjumlah RM31,900 pada tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Azri Abdul Rahim, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ronie Entili.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM31,900 milik seorang wanita yang juga bekas pramugari sebuah syarikat penerbangan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Jalan Nusaria, Taman Nusantara, Gelang Patah, Iskandar Puteri antara 25 Januari 2025 hingga 7 Mac 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, R Nevina menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 terhadap tertuduh, namun peguam mewakili tertuduh, Atuffah Said memohon agar mahkamah memberikan jaminan yang munasabah terhadap anak guamnya.
"Ini merupakan kesalahan pertama dilakukan anak guam saya. Saya memohon agar mahkamah membenarkan satu jaminan yang munasabah atas faktor berikut.
"Anak guam saya merupakan seorang yang bekerja sendiri dengan pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan selain menanggung seorang isteri, mentua dan seorang anak," katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 7 Oktober depan sebagai sebutan semula kes. -- Sinar Harian