Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu akan menjalankan siasatan berhubung tindakan seorang pemuda mencekik seekor ayam jantan dalam kejadian Dungun.

Video yang berdurasi 13 saat itu mula tular di laman sosial Facebook, Sabtu lalu.

Menerusi paparan itu menunjukkan pemuda berkenaan bersama rakannya mencekik ayam jantan tersebut sehingga haiwan terbabit mengalami kekejangan.

Pengarah Jabatan Veterinar negeri, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata pihaknya sedang giat mengumpul maklumat serta mengesan suspek.

Mohd Termizi berkata orang ramai yang mempuyai maklumat diminta tampil menyalurkan maklumat.

“Dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015, sebarang pelakuan kejam atau sebarang pelakuan yang boleh ditakrifkan penganiyaaan kepada haiwan boleh didakwa di mahkamah.

“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda minimum sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.


BACA JUGA: Kambing pun terkejut, beruk kentoi 'huru-harakan' kandang

BACA JUGA: Jiran terkejut beruang 'minta' makanan

Beliau berkata penternak juga perlu mematuhi garis panduan penyembelihan haiwan ternakan dimana ianya tidak boleh dipukul, dipertontonkan kepada umum semasa proses penyembelihan dijalankan.

Katanya perkara itu turut mendapat perhatian daripada Persatuan Haiwan Malaysia yang mahu Jabatan Veterinar Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap kelakuan kejam itu.