Skip to main content

Malaysia

Pemuda ‘hero Tasik Biru’ terima layanan VIP oleh PM di majlis iftar

PM Anwar, tujuh sekawan hero
Sekumpulan pemuda mendapat layanan ‘karpet merah’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika majlis berbuka puasa bersama penggiat media dan pempengaruh di Dewan Bankuet, Kompleks Seri Perdana, pada Jumaat. - Astro AWANI

PUTRAJAYA: Sekumpulan pemuda mendapat layanan ‘karpet merah’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika majlis berbuka puasa bersama penggiat media dan pempengaruh di Dewan Bankuet, Kompleks Seri Perdana, di sini, pada Jumaat.

Ia susulan keberanian tujuh sekawan itu menyelamatkan seorang ibu dan dua anak kecil selepas kereta mangsa terbabas ke dalam sebuah tasik di Kundang, Selangor, pada Selasa.

Advertisement

Dalam kejadian itu, mereka bertujuh membentuk ‘rantai manusia’ untuk bersama-sama menarik tiga beranak terbabit ke tempat selamat.

Kumpulan pemuda itu sampai di Dewan Bankuet sekitar jam 7.58 malam, ketibaan mereka disambut mesra oleh Anwar.

Perdana Menteri kemudian meluangkan masa sekitar 15 minit bersama pemuda itu untuk bertanya khabar dan mengimbau kembali detik cemas dilalui mereka.

Anwar sambil diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil kemudian secara peribadi mengiringi mereka ke meja makan untuk menikmati juadah iftar.

Lebih mencuit hati apabila Anwar mengambil peluang untuk membuka serbet dan meletakkan kain linen kepada pakaian pemuda tersebut, seolah-olah menjalankan tugas seorang pelayan.

Dalam majlis sama, 10 penggiat dan veteran media yang sedang menghadapi kesulitan hidup menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA, antaranya Bekas Penolong Pengarang Berita Sinar Harian, Norlee Muhammad Sapari dan Bekas Penyunting Berita Harian, Nasri Abdullah.

Majlis turut diserikan dengan tazkirah Ramadan disampaikan Ustaz Haryanto Rizal Lokman kepada lebih 350 hadirin.

Program ini bertujuan memerkukuh sinergi pengamal media dengan pimpinan negara untuk menyampaikan maklumat sahih, bertingeriti dan berpaksikan nilai Malaysia MADANI.

Must Watch Video