Pemuda UMNO Kedah hari ni menyambut baik cadangan Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yg ingin mengerahkan pihak tentera darat memperkukuhkan kawalan keselamatan di sempadan.

Kebimbangan Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN) tersebut sememangnya amat berasas dan isu ini seharusnya dijadikan keutamaan kerana ianya adalah isu keselamatan negara.

Pemuda Kedah mahu agar kerahan ini dijalankan dengan kadar segera disamping proses saringan menyeluruh dijalankan bagi memastikan setiap pihak berkuasa berada didalam keadaan "bersih" dan bebas rasuah.

Dalam pada masa yang sama Pemuda UMNO Kedah kecewa dengan pihak-pihak tertentu yg mengambil mudah dengan isu kawalan disempadan.

Kebimbangan ini pernah disuarakan oleh Pemuda UMNO Negeri yg memohon agar dibuat saringan menyeluruh namun ianya tidak diendahkan sama sekali.

Penemuan kubur besar di Wang Kelian membuktikan bahawa sempadan negara kita adalah "syurga" bagi kegiatan-kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Pemuda UMNO Kedah juga mohon agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka siasatan dengan segera dan pada masa yang sama mengejar "jerung besar" daripada menahan hanya "bilis" di jalanan.

Pemuda UMNO Kedah tidak mahu insiden ini kembali berulang dan setiap pegawai ataupun kakitangan keselamatan melalui proses saringan "integriti" yang ketat bagi mengelakkan perkara ini kembali berulang.

Adalah tidak keterlaluan untuk Pemuda UMNO Kedah ingin mencadangkan agar wilayah utara yg melibatkan dua buah negeri iaitu Kedah dan Perlis digazetkan sebagai satu kawasan keselamatan khas bagi membolehkan kerajaan memusatkan tumpuan kakitangan dan aset memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan.

Pemuda UMNO Kedah ingin mengingatkan bahawa sempadan di Utara berpotensi menjadi kawasan "panas" berikutan insiden pengeboman dan konflik di wilayah Selatan Thai. "Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali ataupun bak kata pepatah"sudah terhantuk baru tengadah".

Pemuda UMNO Kedah dengan ini memohon agar kabinet dengan segera meluluskan penghantaran pasukan tentera bagi memperkemaskan kawalan pintu sempadan dan pada masa yg sama melihat penyelesaian jangka masa panjang bagi isu ini.