MALAYSIA
Pemuda UMNO tolak sertai himpunan Anti-URA, fokus cari penyelesaian berkesan

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menegaskan pendirian untuk tidak menyertai himpunan bantahan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dianjurkan oleh Pas. - Foto: Pemuda UMNO
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menegaskan pendirian untuk tidak menyertai himpunan bantahan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) yang dianjurkan oleh Pas.
Exco Pemuda UMNO, Mohamad Aliff Hilmi berkata, penolakan tersebut dibuat secara terhormat kerana Pemuda UMNO mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha mencari penyelesaian yang berkesan terhadap isu URA.
“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengambil pendirian tegas untuk menolak pelawaan Pas menyertai himpunan bantahan akta Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) secara terhormat kerana fokus utama kami adalah mencari solusi yang berkesan dan bukannya sekadar melakukan sesuatu ‘seperti melepaskan batok di tangga’.
“Penyelesaian lebih penting daripada retorik dan rakyat tidak boleh terus dijadikan bahan mainan politik tanpa sebarang hala tuju yang jelas.“Pemuda UMNO sentiasa konsisten memperjuangkan suara rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah di bandar tetapi perjuangan ini mestilah berasaskan fakta, perbincangan ilmiah dan cadangan yang membuahkan hasil,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Aliff yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bendera menjelaskan atas sebab itu UMNO melalui jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan menganjurkan Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar pada 3 Oktober ini.
“Kami ingin menegaskan bahawa pintu perbincangan sentiasa terbuka. Justeru, kami menjemput PAS untuk turut hadir bersama dalam konvensyen ini agar suara kita lebih kuat dan usaha menolak perkara yang merugikan rakyat dapat dilakukan secara bersepadu dengan pendekatan yang lebih bermaruah dan berkesan,” katanya lagi.
Terdahulu,media melaporkan Konvensyen Melayu Bandar yang akan mengkhususkan kepada perbincangan mengenai Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau URA bakal dianjurkan pada 3 Oktober ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami