KUALA LUMPUR:Penafian surat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri oleh UMNO disifatkan tidak memadai.

Setiausaha Agung Armada Malaiyu Malaysia, Nazri Che Arr berkata, penafian itu perlu berasas dan disahkan hanya selepas siasatan polis.

"Laporan polis dibuat bagi menuntut pihak polis agar menyiasat ketulenan atau keaslian surat tersebut yang dinafikan oleh UMNO sendiri dan kesan-kesan kepada umum sekiranya kesahihan surat itu dipertikaikan oleh pelbagai pihak.

"Kami hendak tahu siapa yang tularkan surat itu. Setiap kali ada isu besar, perkara ini umpama disapu di bawah karpet.

"Tiada sesiapa diambil tindakan. Esok lusa siapa lagi ingin buat surat sokongan (kepada Anwar), menyusahkan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Laporan polis dibuat bagi menuntut pihak polis agar menyiasat ketulenan atau keaslian surat tersebut yang dinafikan oleh pihak Umno dan kesan-kesan kepada umum sekiranya kesahihan surat itu dipertikaikan.

BACA: 'Ahmad Zahid kena berani nyatakan surat itu palsu' - Pemuda PKR 

BACA: Khairy gesa Ahli Parlimen UMNO nyatakan pendirian 

Terdahulu, pertubuhan itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Sebelum ini, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, surat berkenaan palsu dan mungkin disebarkan oleh segelintir pihak yang berkepentingan untuk merosakkan imej Presiden UMNO.

Naib Ketua Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman sebelum ini juga menggesa Ahmad Zahid untuk menafikan sendiri surat menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri yang tular sejak Sabtu itu benar-benar palsu.

Tegasnya, jika tidak, lama-kelamaan masyarakat akan tahu juga dari mana datangnya sokongan kepada ketua pembangkang itu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menggesa Ahli Parlimen UMNO supaya menyatakan pendirian mereka susulan surat mendakwa Presiden parti itu memberi sokongan kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri baharu, tular di laman sosial.

Khairy dalam kemas kini di Instagram Story berkata, jika surat tersebut benar, Ahmad Zahid langsung tidak memaklumkan kepada beliau berhubung perkara itu.

Selain Armada Malaiyu Malaysia, Pertubuhan Seni Silat Jurus Rentak Makrifat turut membuat laporan polis mengenai isu sama di IPD Kuala Selangor.