Seorang warga emas berusia 89 tahun bukan saja telah ditumbuk malah putus pergelangan kaki kirinya akibat ditetak seorang suspek dipercayai penagih dadah yang hilang pertimbangan sewaktu memeras wang.

Dalam kejadian yang berlaku di Kampung Tanjong Rendang, Lemal di sini pada kira-kira jam 6 petang itu, suspek dikatakan telah datang ke rumah mangsa, Mek Som Mat Diah, untuk meminta wang daripadanya.

Apabila permintaannya tidak dilayan wanita berkenaan, suspek yang berusia 19 tahun itu terus menceroboh masuk ke rumah mangsa dan menumbuk bahagian muka mangsa sehingga terjatuh.

Setelah itu, mangsa memberitahu, melihat suspek memegang sebilah senjata tajam yang kemudian terus menetak kaki kirinya.

Mangsa yang menjerit kesakitan telah menarik perhatian penduduk setempat yang kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

Pihak polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 6.25 petang dan suspek yang berjaya ditangkap oleh orang kampung itu telah diserahkan untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Pasir Mas untuk siasatan lanjut.

Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Pasir Mas dan difahamkan berada dalam keadaan stabil.

Suspek telah ditangkap oleh orang kampung dan diserah kepada pihak polis. - Foto Astro AWANI