KUALA LUMPUR: Penambahbaikan kemudahan di beberapa sekolah di Sri Aman, Sarawak sedang giat dilakukan bagi memberi keselesaan kepada warga sekolah di kawasan itu, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Menerusi Facebook rasminya Radzi berkata dalam tinjauannya di sekitar kawasan itu, beberapa penambahbaikan dikenal pasti melibatkan dua sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang dan SMK Balai Ringin, serta Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong.

"Dalam aspek penambahbaikan fasiliti SMK Simanggang, penyerahan satu blok pejabat yang baharu akan dibuat dalam masa terdekat. Selain itu, dewan sekolah yang telah berusia hampir 50 tahun akan diusahakan bagi penggantian bumbung dan pendawaian semula.

"Pembinaan blok asrama baharu SMK Balai Ringin pula sedang giat dilaksanakan dan kemudahan ini pasti akan memberi lebih keselesaan kepada pelajar asrama," menurut hantaran itu.

Beliau memaklumkan SMK Simanggang merupakan sekolah asrama harian yang mempunyai 1,047 pelajar dengan 98 daripadanya pelajar Tingkatan Enam semester dua dan 161 pelajar Tingkatan Lima serta tujuh pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi yang hadir ke sekolah bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka.

Menurutnya SMK Balai Ringin mempunyai 1,494 pelajar dengan 36 daripadanya pelajar Tingkatan Enam semester dua dan 267 pelajar Tingkatan Lima yang telah memulakan sesi PdP secara bersemuka sejak awal Oktober lepas.

"Terima kasih pengetua dan guru SMK Simanggang dan SMK Balai Ringin. Kami akan usahakan yang terbaik bagi menyediakan fasiliti dan kemudahan di sekolah, terutamanya di kawasan luar bandar agar anak-anak kita dapat belajar dalam keadaan selamat dan selesa," katanya.

 
Sumber Facebook DrRadziJidin

Sementara itu ketika meninjau SK Bakong yang merupakan sekolah asrama harian, Radzi berkata projek pembinaan gantian penuh melibatkan bilik darjah, asrama dan rumah guru telah diluluskan, dengan lokasi baharu sekolah terletak kira-kira dua kilometer dari tapak asal.

Katanya beberapa kemudahan lain seperti kipas yang rosak akan digantikan dengan segera bagi membolehkan murid di sekolah itu dan yang tinggal di asrama dapat belajar dengan lebih selesa.

Beliau berkata pelaksanaan projek di sekolah berusia lebih 60 tahun itu akan disegerakan agar warga SK Bakong yang mempunyai 146 murid dapat menggunakan sekolah baharu yang lebih selesa secepat mungkin.

 
Sumber Facebook DrRadziJidin

-- BERNAMA