Subang Jaya, 24 Januari 2015: Sebut sahaja “Aiskrim” pasti selera terus terbuka, terbayang perisa pelbagai rasa yang akan memenuhi halwa tekak, Oh!! Sedapnya.

Itulah perasaan saya apabila mendapat tugasan untuk menemuramah pemilik francais Aiskrim Kelapa Sangkaya.

Apa menariknya aiskrim Sangkaya ini? Sedap sangat ke? Apa bezanya dengan aiskrim –aiskrim lain?, semua persoalan itu bermain di minda saya.

Imran Sheikh adalah pemilik bersama francais aiskrim Kelapa Sangkaya, beliau berkongsi modal dengan empat lagi rakan sepengajiannya Mohd Hafiz Baharudin, Nurin Hasanah Rahim Zain, Ahmad Faris Jalil, Nadiatul Liyana Zainuddin. Mereka ini sebenarnya masih belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Wah! Masih belajar tetapi sudah ada perniagaan sendiri, hebat anak Malaysia.

Menurut Imran, idea memulakan perniagaan ini tercetus daripada rasa ingin tahu beliau mengenai aiskrim kelapa Sangkaya yang amat popular di Jalan Alor.

Sebaik sahaja merasai keenakannya , Imran terus terpikat dengan keunikan rasanya, ini membuatkan beliau berulang kali ke sana, bagaikan ketagihan aiskrim.

Imran lima dari kiri bersama empat rakannya Mohd Hafiz Baharudin, Nurin Hasanah Rahim Zain, Ahmad Faris Jalil, Nadiatul Liyana Zainuddin dan pengasasnya John Isaac - Astro AWANI / MARIAH AHMAD
Setelah berbincang dengan empat rakannya, mereka sepakat mengambil keputusan membuka cawangan perniagaan setelah mendapat restu daripada pengasas Sangkaya, iaitu John Isaac Ho dan Ivy Sangrida Kaya.

Namun adat perniagaan, risiko dan cabaran menguruskannya amat tinggi sehingga mereka pernah berasa putus asa untuk meneruskan perniagaan kerana kekangan masa.

Apatah lagi, waktu itu mereka sedang menjalani peperiksaan akhir. Namun atas sifat tanggung jawab dan semangat yang tinggi, mereka meneruskannya.

Staff Sangkaya sedang mengambil pesanan pelanggan – Astro AWANI / MAZNUR AIN

Pelanggan mempunyai tiga pilihan cara untuk menikmati aiskrim ini, sama ada di dalam kon, mangkuk dan di dalam tempurung kelapa. Yang membuatkan aiskrim Sangkaya unik adalah ia tidak menggunakan produk tenusu, mahupun telur, hanya kelapa sepenuhnya. Ini berbeza dengan aiskrim kelapa lain yang berada di pasaran.

Saya memilih untuk menikmati signature aiskrim.- Astro AWANI/ MAZNUR AIN
Bagi saya yang juga seorang penggemar aiskrim, Sangkaya pasti akan menjadi pilihan saya.

Ini kerana, selain rasanya yang sedap, ia juga mempunyai pilihan topping yang pelbagai seperti jagung, nestum, empingan jagung, kacang panggang, kacang merah, kerisik dan gula Melaka, setiap daripada ini menambah lagi keenakan aiskrim tersebut.

Staff Sangkaya sedang membantu meletakkan topping di atas aiskrim pelanggan. – Astro AWANI/ MARIAH AHMAD

Memilih tempat yang strategik di SS15 Subang Jaya, ia memudahkan pelanggan untuk ke sana kerana di situ merupakan tumpuan pengunjung untuk berlibur. Ditambah lagi dengan strategi pemasaran melalui laman sosial Instagram.

Papan hitam yang diletakkan di hadapan gerai yang ditampal gambar pelanggan – Astro AWANI / MAZNUR AIN

Pelanggan kebanyakkannya tertarik dengan gambar yang dimuat naik di Instagram dan seterusnya memilih untuk ke gerainya sendiri.

Suasana di dalam kedai kecil Sangkaya - Astro AWANI / MAZNUR AIN

Mereka memilih untuk menyewa di ruang kecil didalam Restoran Kapten dengan hiasan sederhana dan comel dengan gambar Instagram yang dicuci dan digantung di ruangan atas.

Walaupun tempatnya kecil, ia selesa kerana, pemilik Restoran Kapten sedia memberi kerjasama meletakkan kerusi untuk pelanggan yang datang di Sangkaya.

Layanan mesra daripada kakitangan Sangkaya juga memainakan peranan penting dalam memastikan keselesaan pelanggan disamping membuatkan penggemar aiskrim kembali bertandang ke gerai Sangkaya.

Staff Sangkaya sedang memberi penerangan - Astro AWANI / MARIAH AHMAD

Inilah Penangan Sangkaya!!