MACAM mana nak ajar anak suka makan buah-buahan dan makanan sihat?

Sebenarnya ia bermula daripada ibu bapa. Jika kita biasakan anak-anak dengan makanan sihat sejak dari kecil, sampai besar anak tidak memilih makan.

Seperti perkongsian Dr Mazliana Mazlan, caranya membiasakan makanan dalam peti sejuk penuh dengan pilihan buah-buahan menyebabkan anak-anak tak makan makanan yang tidak sihat.


Bagaimana caranya? Berikut perkongsian bermanfaat untuk ibu ayah semua:

"Pilih saja nak makan buah apa. Dalam peti sejuk saya, sebolehnya saya akan pastikan ada banyak pilihan buahan-buahan untuk anak makan setiap hari.

Setiap kali bawa pulang buah dari pasaraya, saya akan rendam dulu semua buah dalam larutan garam atau cuka. Ataupun larutan pencuci buah.

Rendam, gosok-gosok sikit, bilas dan keringkan air sekejap. Saya buat begini sebab nak hilangkan sebanyak mungkin sisa-sisa racun serangga atau wax yang mungkin ada pada buah.

Dah selesai semuanya, baru saya masukkan dalam peti sejuk.

Bila anak nak makan, diorang dah pandai bilas sendiri dan terus ngap saja, tak payah beriya nak basuh dah.

Cuma kalau buah naga dan oren, tahu pulak diorang bawak tunjuk ke saya dulu mintak tolong kupaskan.

Saya kongsikan tujuh tip untuk anak jadi pencinta buah, dan tak tolak apa saja jenis buah yang diberi.

1. Ibu ayah ambil dan makan buah dulu, anak tengok dan anak akan ikut.

2. Mula dari seawal usia anak boleh makan.

3. Sediakan buah sentiasa di rumah tanpa putus bekalannya.

4. Pelbagaikan pilihan rasa buah yang ada di rumah, dari manis, tawar, masam dan lain-lain rasa.

5. Pelbagaikan pilihan warna dan bentuk buah supaya menarik minat anak untuk mencuba.

6. Elakkan simpan di rumah bekalan 'ultra processed food' seperti jajan, roti, biskut, coklat, aiskrim dan 'cereal'.

7. Doa sentiasa tanpa putus supaya buah jadi sahabat baik anak kita.


Ini saja yang saya buat. Jika ada ibu ayah yang masih struggle nak beri anak makan buah, boleh cuba ya perkongsian saya ini."


Kredit: Dr Mazliana Mazlan


*Artikel asal di Pa&Ma



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !