KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus memperkukuh kedudukan sebagai institusi pengajian tinggi berprestij dan berdaya saing menerusi pelbagai pencapaian serta penarafan pada peringkat dalam negara dan antarabangsa.
Naib Canselor UniSZA Profesor Datuk Dr Fadzli Adam berkata universiti itu berjaya mencapai kedudukan 801 hingga 1000 terbaik dunia dalam penarafan Times Higher Education 2027, menjadikan institusi itu berada pada tangga ke-17 daripada 29 institusi pengajian tinggi (IPT) dan ke-10 terbaik universiti awam di Malaysia.
Beliau berkata pencapaian itu hasil kerjasama serta komitmen pengurusan tertinggi, tenaga pengajar, petugas dan penuntut UniSZA.
“Hasil kebersamaan dalam merealisasikan Pelan Strategik UniSZA (PSU) 2023-2030, UniSZA berjaya melonjakkan kedudukannya ke-109 dunia daripada 2,016 institusi dalam UI GreenMetric World University Rankings 2026,” katanya.
Fadzli berkata demikian ketika berucap pada sidang pertama Majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke-18 UniSZA di sini semalam, yang disempurnakan Pro-Canselor UniSZA Tunku Datuk Nooruddin Tunku Shahabuddin.
Selain itu, beliau berkata bagi memperkasakan jaringan bersama IPT lain, industri dan masyarakat, UniSZA setakat ini menjalin 475 kerjasama strategik menerusi pelbagai memorandum perjanjian, perjanjian penyelidikan dan memorandum persefahaman termasuk dengan 40 agensi luar negara.
Kerjasama itu berjaya memperkukuh jaringan nasional serta memperluas kolaborasi antarabangsa selaras dengan aspirasi pengantarabangsaan universiti.
Fadzli berkata seiring dengan aspirasi pengantarabangsaan universiti, UniSZA merekodkan sebanyak 999 penuntut antarabangsa aktif terdiri daripada 975 penuntut pascasiswazah dan 24 prasiswazah setakat September lepas.
“Penglibatan dalam mobiliti antarabangsa turut diperkukuh melalui 340 peserta Inbound Credited Mobility dan 382 peserta Outbound Credited Mobility. Pencapaian ini memperkukuh interaksi budaya dan perkongsian ilmu ke arah melahirkan graduan berwawasan global,” katanya.
Dalam pada itu, Fadzli berkata UniSZA terus membuka ruang dan peluang pendidikan tinggi kepada setiap lapisan masyarakat dalam usaha memperkasakan penguasaan ilmu dengan menerima 4,875 mahasiswa baharu merangkumi 323 penuntut asasi, 1,316 diploma dan 3,236 sarjana muda bagi sesi akademik 2026/2027.
Beliau berkata jumlah itu mencerminkan keyakinan penuntut dan keluarga menjadikan UniSZA sebagai institusi pilihan untuk melanjutkan pengajian, sekali gus membuktikan keupayaan universiti dalam menyediakan pendidikan berkualiti serta melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing.
UniSZA juga terus memperluas peluang pendidikan tinggi yang inklusif dan fleksibel menerusi pengiktirafan sebagai Pusat Penilaian Accreditation of Prior Experiential Learning for Access (PPA) yang meletakkan universiti itu sebagai satu-satunya PPA (Terbuka) di Pantai Timur yang menawarkan penilaian hingga peringkat Ijazah Kedoktoran (T-8).
Fadzli berkata penarafan itu seterusnya membuka peluang kepada individu untuk melanjutkan pengajian berdasarkan pengalaman pembelajaran terdahulu serta memperkukuh peranan universiti dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan menyokong pembangunan bakat negara.
Beliau berkata UniSZA juga terus memperkukuh kelestarian kewangan dan kebajikan universiti apabila berjaya mengumpul dana berjumlah RM4.04 juta melalui wakaf, endowmen, infaq dan wakalah zakat hasil kerjasama strategik dengan pelbagai rakan kolaborasi.
“Pencapaian ini membuktikan keyakinan dan sokongan berterusan pihak luar terhadap usaha UniSZA memperkasakan pendidikan, kebajikan dan pembangunan komuniti universiti,” katanya.
Majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke-18 UniSZA yang berlangsung empat hari bermula hari ini menyaksikan sebanyak 3,688 graduan menerima Doktor Falsafah (PhD), Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma masing-masing.
Majlis sidang pertama pada Ahad menyaksikan Anugerah Ijazah Kehormat diberikan kepada dua penerima, iaitu pakar perubatan Profesor Tan Sri Dr Jemilah Mahmood serta pakar bidang kimia dan sains alam sekitar Profesor Emeritus Datuk Dr Mazlin Mokhtar.
Pada majlis itu, Anugerah Pelajaran DiRaja diberikan kepada dua graduan cemerlang, iaitu Muhammad Akbar Ahmad daripada Fakulti Perniagaan dan Pengurusan serta P. Venoell daripada Fakulti Sains Kesihatan.
-- BERNAMA