GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) menegaskan pencapaiannya dalam THE Sustainability Impact Ratings 2026 perlu dinilai berdasarkan metodologi penarafan itu khusus mengukur impak universiti terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan bukan dibandingkan secara langsung dengan sistem penarafan universiti lain.
Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed berkata THE Sustainability Impact Ratings 2026 bukan penarafan umum yang mengukur semua dimensi kecemerlangan universiti secara menyeluruh, sebaliknya menilai sumbangan universiti kepada SDGs merangkumi penyelidikan, pendidikan, tadbir urus, operasi institusi, jaringan kerjasama dan impak kepada masyarakat.
Justeru, beliau berkata keputusan penarafan berkenaan tidak wajar dibandingkan secara langsung dengan sistem penarafan lain seperti THE World University Rankings atau QS World University Rankings kerana setiap sistem mempunyai objektif, indikator, pemberat dan metodologi berbeza.
“Sesuatu kedudukan perlu dibaca berdasarkan perkara yang diukur, bukan sekadar angka atau tajuk utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Rahman berkata pencapaian USM dalam kelompok lima universiti terbaik dunia bagi THE Sustainability Impact Ratings 2026 serta kedudukan teratas dalam SDG 17: Partnerships for the Goals, perlu difahami sebagai pengiktirafan terhadap inisiatif berimpak tinggi yang dilaksanakan bersama rakan strategik, komuniti, industri, kerajaan dan jaringan antarabangsa.
Beliau berkata USM menyambut baik perbahasan awam berhubung pendidikan tinggi, kecemerlangan universiti dan sistem penarafan antarabangsa, namun menegaskan wacana itu perlu dipandu fakta, kefahaman metodologi dan konteks yang tepat.
Katanya pandangan kritikal wajar diraikan dalam masyarakat berilmu kerana ia membantu institusi pendidikan tinggi menilai diri, memperkukuh akauntabiliti dan meningkatkan sumbangan kepada negara.
Abdul Rahman berkata USM tidak melihat mana-mana penarafan sebagai ukuran mutlak kecemerlangan universiti, sebaliknya sebagai satu daripada penanda aras antarabangsa yang membantu universiti mengenal pasti kekuatan, mengesan ruang penambahbaikan dan memperkukuh impak kepada masyarakat.
“Apa lebih penting ialah bagaimana universiti terus membuktikan nilainya melalui pendidikan berkualiti, penyelidikan yang menyelesaikan masalah sebenar, inovasi memberi manfaat, graduan berdaya saing, tadbir urus berintegriti dan kerjasama strategik yang menyokong pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata kekuatan sebenar sesebuah universiti bukan hanya pada kedudukan dalam mana-mana penarafan, tetapi sejauh mana ilmu, penyelidikan, kepakaran dan nilai yang dibangunkan dapat memberi manfaat kepada pelajar, masyarakat, industri, negara dan dunia.
-- BERNAMA