Kehilangan seorang warga emas yang dikatakan keluar dari rumahnya untuk mencari kulat sejak tengah hari semalam terjawab apabila dia ditemui meninggal di dalam sebuah perahu di tepi Sungai Tembila pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi memberitahu mangsa ialah Ismail Salleh, 72, dari Kampung Tembila dekat sini.

Beliau berkata mangsa dipercayai keluar dari rumahnya pada pukul 2 petang semalam untuk mencari kulat di satu kawasan belukar tidak jauh daripada rumahnya.

"Anggota keluarganya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja selepas mangsa didapati tidak pulang ke rumah sehingga pukul 8 malam.

"Mangsa akhirnya ditemui oleh pasukan penyelamat pada jam 9.10 pagi tadi di dalam sebuah perahu milik penduduk di tepi Sungai Tembila dalam keadaan tertiarap dengan kepalanya berada di dalam air," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Besut untuk dibedah siasat.