SHAH ALAM:Syarikat pengeluar makanan dan minuman terkemuka, Nestle Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd (Nestle Manufacturing), didenda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan melepaskan sisa buangan cecair ke dalam perairan pedalaman, tahun lalu.

Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas wakil syarikat itu mengubah pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes itu pada September lalu.

Ketika membacakan keputusannya, beliau berkata, meskipun tidak ada bukti langsung yang mengaitkan berlakunya pencemaran kepada Sungai Klang, namun tindakan syarikat itu boleh memberi kesan kepada alam sekitar.

"Sesungguhnya, tindakan pencemaran ini membawa musibah kepada alam sekitar. Ia bukan melibatkan kita, tapi (memberi kesan kepada) generasi akan datang," katanya.

Mengikut pertuduhan, syarikat tersebut didapati melepaskan efluen perindustrian melebihi had yang ditetapkan ke dalam pedalaman di Kompleks Shah Alam, Jalan Playar 15/1, di sini antara pukul 10.10 pagi dan 1 petang, 21 Mei 2019.

Dengan itu, syarikat tersebut melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11(1)(b) Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 32 peraturan yang sama.


Suspek kes pencemaran air dihadapkan ke mahkamah

Sementara itu, syarikat itu turut didakwa atas satu lagi pertuduhan atas kesalahan mengikut Peraturan 12(b) Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam J Rao yang mewakili syarikat berkenaan memohon mahkamah agar mempertimbangkan hukuman ke atas syarikat berkenaan memandangkan ia adalah kesalahan pertama yang dilakukan oleh premis terkemuka itu.

Antara lain katanya, syarikat itu juga melakukan banyak aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Faizura Mohd Ali berkata, melakukan CSR tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk meringankan hukuman ke atas syarikat tersebut.

Beliau turut memaklumkan, pihak pendakwaan menyerahkan 26 keping gambar serta empat botol sampel yang mengaitkan kes Orang Kena Saman (OKS) itu.

"Berdasarkan siasatan yang dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar, syarikat itu melepaskan sisa buangan cecair secara berterusan," tambahnya.