Pencemaran Sungai Johor: Syarikat terlibat berdepan pendakwaan - JAS

Keadaan Sungai Sayong di Ulu Sungai Johor, Kota Tinggi, masih berlumpur walaupun telah memasuki hari kedua, hari ini. - Gambar Bernama
JOHOR BAHRU: Sebuah syarikat yang dikaitkan dengan insiden pencemaran Sungai Johor berkemungkinan berdepan tindakan pendakwaan sekiranya Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenal pasti terdapat pelanggaran di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).
JAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan hasil mesyuarat bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memutuskan tindakan perundangan akan diambil di bawah Enakmen PTG (Pelesenan) dan Akta SPAN yang berkenaan.
Susulan itu, JAS telah mengeluarkan Field Citation (FC) kepada syarikat berkenaan untuk mengemukakan laporan terperinci mengenai kerja-kerja penambahbaikan benteng kolam takungan yang pecah hingga mencemari aliran Sungai Johor.
"Selain itu, syarikat itu turut diarahkan melaksanakan pemantauan berterusan terhadap semua kolam takungan yang beroperasi bagi memastikan tiada kejadian pencemaran berulang," menurut kenyataan itu.
Menurut JAS, aktiviti pengambilan pasir oleh syarikat terbabit tidak tertakluk kepada Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) kerana melibatkan kawasan kurang daripada 20 hektar.
Bagaimanapun, jabatan itu akan memastikan tiada lagi aliran air berlumpur atau bahan pencemar memasuki sistem sungai berhampiran selepas kerja pembaikan selesai.
"Mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran alam sekitar boleh dikenakan tindakan tegas. Pengusaha aktiviti seperti perlombongan dan perindustrian mesti melaksanakan langkah kawalan pencemaran yang berkesan terutama semasa musim hujan," menurut kenyataan itu.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata paras kekeruhan air mentah di Lembangan Sungai Johor mencatat peningkatan luar biasa hingga 37,400 Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal kira-kira 400 NTU.
Beliau berkata kejadian berpunca daripada pergerakan tanah yang menyebabkan kolam cucian pasir keenam milik syarikat tempatan di kawasan perlombongan pasir darat di Kota Tinggi pecah, lalu mencemari aliran Sungai Johor.
Insiden itu menyebabkan 455,499 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak terancang, dengan 211,257 akaun masih terjejas setakat pagi ini iaitu melibatkan Johor Bahru (139,654 akaun), Kulai (43,786) dan Kota Tinggi (27,817).
Sebagai langkah mitigasi, pelepasan air dari Empangan Linggiu telah ditingkatkan bagi tujuan pencairan serta penghantaran bekalan air alternatif melalui lori tangki ke kawasan terjejas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


