MELAKA: Pencemaran Sungai Lereh yang berlaku semalam dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa kumbahan aktiviti penternakan lembu dan kambing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelebang Datuk Lim Ban Hong berkata ia hasil siasatan awal Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka yang mengambil sampel air sungai berkenaan selepas menerima aduan daripada penduduk setempat.

"JAS akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk menyiasat lebih lanjut sama ada sistem kumbahan atau pengendalian kolam takungan di kawasan kandang terbabit bagi mengenal pasti ia mengikuti spesifikasi ditetapkan atau tidak.

"Penduduk di sekitar kawasan Sungai Lereh juga mendakwa pencemaran sungai berkenaan turut berlaku hampir setiap tiga bulan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Drive Thru Recycling Centre (DTRC) Taman Bukit Rambai yang turut dihadiri Pengarah SWCorp Melaka Khairuladha Ab Mutalib di sini hari ini.

Lim turut menyeru agar JAS membuat pemantauan secara berkala di sepanjang sungai berkenaan kerana terdapat aktiviti pertanian yang memerlukan sumber air bersih dari sungai tersebut.

Semalam, tular di aplikasi WhatsApp mengenai pencemaran di Sungai Lereh yang menyebabkan air sungai bertukar warna kehitaman dan berakhir di kawasan pantai.

Mengulas mengenai DTRC tersebut, Lim berkata ia merupakan pusat kedua seumpamanya dibuka di negeri itu selepas kemudahan pertama dilancarkan di Masjid Tanah di Alor Gajah.

Beliau berkata DTRC berfungsi sebagai pusat pembelian dan pengumpulan barangan kitar semula secara kaedah pandu lalu yang diharap dapat menarik minat masyarakat Melaka melaksanakan aktiviti kitar semula dengan lebih cepat dan mudah.

Katanya DTRC Masjid Tanah berjaya mengumpul 561 kilogram (kg) barangan kitar semula pada tahun lepas dan 239.5 kg barangan sama sepanjang Januari lalu.

-- BERNAMA