KANGAR: Seorang lelaki yang juga penceramah bebas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kangar hari ini atas dua pertuduhan mengugut serta menyebabkan kecederaan ke atas seorang wanita dalam kejadian bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, 38, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhasliza Md Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga Ketua Pegawai Eksekutif One Center Malaysia Perlis didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas mangsa iaitu wanita berusia 38 tahun di sebuah rumah di Jalan Melati Indah, Beseri pada pukul 5 petang 14 Julai lalu.

Perbuatan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Manakala pertuduhan kedua, Muhammad Zamri didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut untuk membunuh.

Bagi pertuduhan ini tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dimana memperuntukkan hukuman penjara sehingga tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail manakala Muhammad Zamri diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan Muhammad Zamri diikat jamin RM6,000 bagi dua pertuduhan itu dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 23 Ogos depan untuk tarikh sebutan semula kes.