Skip to main content

Malaysia

Pendaftaran automatik KWSP bantu belia perkukuh persediaan persaraan

(Dari kiri) Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Farhan Rosli; Pengarah Penyelidikan PNB Research Institute, Farhana Roslan; Timbalan Pengurus Jabatan Polisi dan Strategi KWSP, Atika Nurulfatin Omar; dan wartawan Astro AWANI, Irfan Faruqi ketika sesi Dialog Anak Muda di Menara KWSP, Kwasa Damansara. - foto/KWSP
(Dari kiri) Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Farhan Rosli; Pengarah Penyelidikan PNB Research Institute, Farhana Roslan; Timbalan Pengurus Jabatan Polisi dan Strategi KWSP, Atika Nurulfatin Omar; dan wartawan Astro AWANI, Irfan Faruqi ketika sesi Dialog Anak Muda di Menara KWSP, Kwasa Damansara. - foto/KWSP

Advertisement

Ringkasan AI

  • Pendaftaran automatik KWSP kepada warganegara berusia 18 tahun bertujuan memperkukuh simpanan persaraan dan meningkatkan kesiapsiagaan generasi muda.
  • Inisiatif ini memudahkan golongan muda memulakan simpanan awal, mengatasi kecenderungan menangguhkan caruman dan membentuk disiplin kewangan sejak usia muda.
  • Pakar menegaskan literasi kewangan menyeluruh dan pendekatan bersepadu penting agar pendaftaran awal diterjemahkan kepada amalan mencarum berterusan sepanjang tempoh bekerja.

KUALA LUMPUR: Pendaftaran automatik warganegara sebagai ahli KWSP apabila mencapai usia 18 tahun dilihat sebagai langkah penting ke arah memperkukuh amalan simpanan jangka panjang serta meningkatkan kesiapsiagaan persaraan generasi akan datang.

Timbalan Pengurus, Jabatan Polisi dan Strategi KWSP, Atika Nurulfatin Omar berkata, inisiatif itu dapat membawa golongan muda ke dalam ekosistem simpanan persaraan lebih awal, sekali gus memudahkan mereka mengambil langkah pertama untuk mencarum apabila berkemampuan.

“Pendaftaran automatik ini dapat membantu menangani kecenderungan untuk menangguhkan simpanan.

“Kadang-kadang kita memang berniat untuk menyimpan, tetapi sering bertangguh atas pelbagai alasan. Apabila seseorang sudah berdaftar sebagai ahli KWSP, langkah pertama itu telah pun diambil dan mereka hanya perlu mula mencarum apabila berkemampuan,” katanya dalam program Dialog Anak Muda pada Jumaat.

Atika Nurulfatin berkata, faktor lain yang juga mempengaruhi keputusan kewangan belia ialah kecenderungan untuk membuat perbandingan sosial, iaitu apabila seseorang terdorong untuk mengikuti gaya hidup rakan sebaya tanpa mengambil kira kemampuan kewangan sendiri.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan membentuk disiplin kewangan sejak usia muda, termasuk mengutamakan simpanan kecil secara konsisten bagi memanfaatkan kesan pulangan kompaun dalam tempoh panjang.

"Kadang-kadang kita merasakan menyimpan itu sukar, tetapi ia juga tentang pilihan yang kita buat dalam perbelanjaan. Jika sebahagian daripada perbelanjaan itu digunakan untuk simpan, walaupun sedikit dan dimulakan awal, kita dapat manfaatkannya melalui kesan penggandaan jangka panjang,” ujarnya.

Pandangan tersebut selari dengan inisiatif Belanjawan 2027 yang memperkenalkan pendaftaran akaun KWSP secara automatik kepada semua warganegara Malaysia sebaik sahaja mereka mencapai usia 18 tahun.

Inisiatif berkenaan bertujuan menggalakkan golongan muda memulakan perjalanan simpanan persaraan lebih awal, dengan caruman bermula apabila mereka mula menjana pendapatan.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Permodalan Nasional Berhad (PNBRI), Farhana Roslan berpandangan bahawa dalam berdepan cabaran kewangan semasa, golongan muda perlu melihat nilai simpanan kecil sebagai langkah awal membina kedudukan kewangan yang lebih kukuh untuk jangka panjang.

Beliau menegaskan bahawa literasi kewangan tidak seharusnya terhad kepada kesedaran mengenai kepentingan menyimpan atau mengelakkan hutang semata-mata.

Sebaliknya, golongan muda juga perlu memahami bagaimana pemilihan pekerjaan boleh mempengaruhi perlindungan sosial dan kedudukan kewangan mereka dalam jangka panjang.

“Setiap bentuk pekerjaan menawarkan fleksibiliti dan manfaat yang berbeza. Dalam sektor formal misalnya, caruman majikan kepada KWSP merupakan antara manfaat yang membantu pekerja membina simpanan persaraan untuk jangka panjang,” katanya.

Menurut Farhana, pemahaman kewangan yang menyeluruh juga perlu merangkumi keupayaan menilai produk pelaburan, perkhidmatan perbankan digital serta risiko penipuan kewangan yang boleh menjejaskan simpanan individu.

Justeru, usaha menggalakkan caruman awal perlu disertai pendekatan lebih menyeluruh yang mengambil kira kemampuan pendapatan, kestabilan pekerjaan dan tingkah laku kewangan belia.

Pendekatan itu penting bagi memastikan pendaftaran awal sebagai ahli KWSP bukan sekadar meningkatkan penyertaan dalam sistem persaraan, tetapi turut diterjemahkan kepada amalan mencarum secara berterusan sepanjang tempoh bekerja.

[LANGSUNG] Dialog Anak Muda | Hidup lebih lama, adakah anak muda bersedia? | 16 Oktober 2026

Must Watch Video

Advertisement