KUALA LUMPUR: Pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, ditangguhkan ke 27 Ogos susulan masalah kesihatan yang dihadapi beliau.
Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, meskipun pihak pendakwaan telah mendaftarkan pertuduhan, namun ia tidak dapat dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan susulan anak guamnya itu kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Katanya, Ismail Sabri dijadual menjalani prosedur memasang alat perentak jantung (pacemaker) pada petang ini.
"Pihak pembelaan telah menjelaskan kepada hakim dan pihak pendakwaan mengenai situasi yang berlaku semalam ketika beliau (Ismail Sabri) berada di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Ketika proses (soal siasat) masih berjalan, beliau dikesan mengalami masalah kesihatan yang memerlukan beliau segera dibawa ke IJN untuk rawatan lanjut," katanya kepada pemberita di lobi mahkamah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa Ismail Sabri sebenarnya sudah mempunyai sejarah masalah kesihatan sebelum ini, termasuk pernah terjatuh dua minggu lalu yang menyebabkan beliau dimasukkan ke Hospital Pantai.
"Beliau sebenarnya dijadualkan untuk menjalani pemeriksaan susulan di IJN pada Isnin depan.
"Bagaimanapun, selepas diambil keterangan oleh SPRM dari jam 9 pagi hingga 6 petang semalam, keadaan kesihatannya memerlukan tindakan segera," jelasnya.
Tambah beliau lagi, mahkamah telah bersetuju untuk menetapkan 27 Ogos ini sebagai tarikh baharu bagi pembacaan pertuduhan dan merekodkan pengakuan, tertakluk kepada tahap kesihatan anak guamnya itu.
Buat masa ini, Ismail Sabri masih berada di bawah jaminan SPRM sementara menunggu prosiding seterusnya.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Bera itu dijadualkan dibaca di hadapan Hakim Suzana Hussin pada jam 9 pagi.
Sebelum ini, beliau beberapa kali dipanggil SPRM untuk sesi rakaman percakapan berkaitan pengisytiharan harta.
SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas bernilai kira-kira RM7 juta, hasil siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan beliau.
Rampasan itu dilakukan ketika penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan 'rumah selamat', susulan penahanan empat pegawai kanan Ismail Sabri pada Februari 2025.