KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan yang mengendalikan empat kes menggunakan kedudukan dan tiga kes pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat supaya semua pertuduhan kes berkenaan dibicarakan bersama.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata demikian ketika prosiding sebutan kes, di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Wan Shaharuddin berkata, permohonan itu difailkan pada Khamis dan dokumen berkaitan telah diserahkan kepada pasukan pembelaan sebentar tadi.

“Separuh daripada keseluruhan dokumen ini telah diserahkan kepada pihak pembelaan, jadi kami mohon sebutan kes seterusnya dibuat pada 4 Ogos depan.

“Ini kerana, terdapat banyak permohonan daripada pihak pembelaan di Mahkamah Tinggi di sini, antaranya memindahkan kes dan menggugurkan pertuduhan,” katanya.

Susulan itu beliau memohon kepada mahkamah supaya menetapkan tarikh yang lebih panjang bagi serahan baki dokumen tersebut.

Sementara itu, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa mereka memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan.

Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan pasukan pembelaan untuk menjawab permohonan berkenaan pada atau sebelum 30 Jun ini sementara afidavit jawapan oleh pihak pendakwaaan dalam masa dua minggu iaitu 14 Julai depan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, tertuduh sebelum ini didakwa atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram di Mahkamah Sesyen, Shah Alam dan kes tersebut dipindahkan di mahkamah di sini pada Jumaat.

Ahmad Akram memohon pertuduhan tersebut dibacakan semula di hadapan Azura dan Muhyiddin mengulangi pendirian tidak bersalah atas pertuduhan tersebut dan memohon kes itu dibicarakan.

Azura menetapkan sebutan kes pada 4 Ogos sebagai mana dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Tiga hari kemudian, iaitu 13 Mac, Muhyiddin sekali lagi didakwa atas pertuduhan ketujuh, iaitu kes pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta, tahun lalu.

Ekoran kes ini, Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah itu. - Sinar Harian