Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Pendanaan awam parti politik perlu audit, pemantauan bebas

Sumber: PARLIMEN MALAYSIA
Mekanisme audit oleh pihak profesional yang diperakui juga perlu diwujudkan bagi memastikan penggunaan dana dapat dipantau dan disemak secara telus. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pembiayaan awam kepada parti politik perlu disertai mekanisme audit profesional, pemantauan bebas serta penguatkuasaan yang kukuh bagi memastikan dana pembayar cukai digunakan mengikut tujuan yang ditetapkan serta mengelakkan ketirisan dan salah guna.

Presiden Pertubuhan Integriti dan Governan Malaysia (MIG), Datuk Seri Akhbar Satar berkata, setiap dana yang disalurkan kerajaan perlu dimasukkan ke dalam akaun parti dan bukan diberikan kepada individu dalam parti berkenaan.

Beliau menjelaskan mekanisme audit oleh pihak profesional yang diperakui juga perlu diwujudkan bagi memastikan penggunaan dana dapat dipantau dan disemak secara telus.

“Pastikan bahawa setiap dana yang diberi hendaklah dimasukkan dalam parti dan bukannya kita bagi kepada personal parti.

“Yang kedua kita kena ada audit profesional yang bertauliah. Pastikan supaya kita ada satu organisasi untuk melihat audit itu dan memastikan duit-duit ini digunakan sebagaimana yang dijanjikan,” katanya dalam program Agenda AWANI 'Perdanaan Awam Bagi Parti Politik, Sudah Bersedia?', yang disiarkan pada Rabu malam.

Akhbar menambah, pihak yang bertanggungjawab menguruskan dana berkenaan juga perlu bebas daripada pengaruh politik serta mempunyai kepakaran termasuk dalam bidang perakaunan forensik bagi mengesan sebarang bentuk penyelewengan.

Beliau berkata keperluan terhadap penguatkuasaan yang berkesan amat penting kerana kewujudan pembiayaan awam semata-mata tidak mencukupi sekiranya sistem pemantauan dan kawal selia lemah.

“Penguatkuasaan mesti sangat baik. Maknanya kita kena ada sistem yang bagus, 'enforcement', audit. Kalau tidak, ia boleh 'collapse'.

“Kita kena pastikan sesiapa sahaja yang menjaga dana ini hendaklah 100 peratus bebas dan mempunyai kepakaran dari segi forensic accounting dan sebagainya,” jelasnya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Syazwan Zainal berkata kajian yang dijalankan IDEAS bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Bayu mendapati sokongan orang ramai terhadap pembiayaan awam parti politik adalah hampir seimbang, dengan 49 peratus menyokong dan 50 peratus tidak menyokong.

Beliau berkata hampir 70 peratus negara di dunia atau kira-kira 120 daripada 174 negara yang dikaji telah melaksanakan pembiayaan awam kepada parti politik, termasuk United Kingdom (UK), Kanada dan Australia.

Mengulas lanjut, menurut Syazwan cadangan pembiayaan awam sebanyak RM130 juta setahun boleh dilihat sebagai satu bentuk pelaburan bagi mengurangkan kebergantungan parti politik kepada individu berpengaruh dan syarikat besar.

Beliau berkata jumlah itu dicadangkan berdasarkan 0.05 peratus daripada median belanjawan Kerajaan Persekutuan bagi tempoh 10 tahun, dengan pengagihan dibuat berdasarkan peratusan undi yang diperoleh parti politik.

"Parti yang memperoleh sekurang-kurangnya dua peratus undi sah dalam pilihan raya, memiliki sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen atau satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh dipertimbangkan untuk menerima pembiayaan awam," katanya lagi.

Dalam masa sama, Syazwan berkata mekanisme itu bertujuan memastikan bukan hanya parti besar yang mendapat akses kepada pembiayaan awam, malah parti lebih kecil yang memenuhi syarat minimum turut diberi peluang.

 

 

Must Watch Video

Advertisement