Skip to main content

Malaysia

MWC Doha: Malaysia tolak 'Kolonialisme Teknologi', gesa kedaulatan digital negara harus dihormati

Fahmi Fadzil menegaskan, kedaulatan negara mesti dihormati dalam dasar telekomunikasi dan menggesa tumpuan diberi kepada penggunaan 5G sebelum beralih ke 6G. - Facebook Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil menegaskan, kedaulatan negara mesti dihormati dalam dasar telekomunikasi dan menggesa tumpuan diberi kepada penggunaan 5G sebelum beralih ke 6G. - Facebook Fahmi Fadzil
Advertisement

DOHA: Malaysia menggesa agar kedaulatan setiap negara dihormati dalam menentukan dasar telekomunikasi dan infrastruktur digital masing-masing, di samping memberi amaran keras terhadap ancaman "kolonialisme teknologi" oleh pihak yang lebih maju.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, jurang kemajuan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menentukan cara negara membangun membina serta menguruskan ekosistem digital mereka, khususnya ketika persaingan geopolitik kian memuncak.

"Tidak seharusnya wujud keadaan kolonialisme teknologi, iaitu apabila anda yang pertama atau lebih maju, maka anda memberitahu kepada pihak lain apa yang patut atau tidak patut dibuat, apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan.

Advertisement

"Setiap negara mempunyai kedaulatan sendiri dan seharusnya berhak menentukan dasar domestik masing-masing," katanya ketika berucap pada sesi perbincangan panel peringkat menteri di Mobile World Congress (MWC) Doha 2026 di Qatar, pada Ahad.

Fahmi berkongsi pengalaman Malaysia dalam pelaksanaan rangkaian 5G sebagai bukti kepentingan berpegang kepada kebebasan dasar walaupun terpaksa menguruskan sensitiviti geopolitik dan cabaran diplomatik yang rumit.

Advertisement

Menurut beliau, Malaysia pada awalnya memilih model rangkaian borong tunggal (SWN) biarpun pendekatan itu tidak disarankan oleh GSMA Intelligence, sebelum beralih kepada model dwirangkaian.

"Malaysia mempunyai pendekatan tersendiri kerana kita melaksanakan apa yang tidak disarankan GSMA Intelligence iaitu rangkaian borong tunggal. Namun, kita tetap melaksanakannya dan saya merupakan menteri yang bertanggungjawab mengemudi peralihannya kepada model dwirangkaian," jelasnya lagi.

Menyentuh mengenai persekitaran global yang semakin multipolar, Fahmi menekankan kepentingan membina konsensus dan mencari titik persamaan melalui keterlibatan aktif berbanding membiarkan perbezaan memecahbelahkan sesebuah rantau.

Beliau memberi contoh blok ASEAN yang tidak mempunyai parlimen pusat, menuntut diplomasi berterusan dan rasa saling menghormati bagi memastikan prinsip saling kendali (interoperability) serta keselamatan infrastruktur telekomunikasi dapat dicapai bersama.

Selain itu, Fahmi mengingatkan pemain industri agar tidak terburu-buru melompat ke era teknologi generasi keenam (6G) sedangkan penggunaan praktikal rangkaian sedia ada masih memerlukan pengukuhan.

"Sebelum kita bercakap mengenai 6G, kita perlu melihat sejauh mana masyarakat dan industri benar-benar memanfaatkan rangkaian 5G atau 5G-Advanced. Itu sebenarnya cabaran utama yang sedang giat kami tangani di Malaysia," ujarnya.

Beliau turut menyeru usaha bersepadu bagi membantu negara-negara membangun merapatkan jurang digital menjelang peralihan kepada teknologi kuantum dan komunikasi selamat kuantum.

Mengakhiri perkongsiannya, Fahmi melahirkan keyakinan bahawa kerjasama antarabangsa yang inklusif mampu mencetuskan penyelesaian inovatif di luar jangkaan demi masa depan telekomunikasi dunia.

Must Watch Video

Advertisement