Kajian Jabatan Perangkaan mendapati pendapatan isi rumah penengah di negara ini menunjukkan pertumbuhan sederhana iaitu sebanyak 3.9 peratus setahun kepada RM5,873 pada tahun 2019.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pendapatan purata pula meningkat sebanyak 4.2 peratus setahun kepada RM7,901.

“Berdasarkan metodologi 2019, nilai purata Paras Garis Kemiskinan (PGK) nasional ialah RM2,208 iaitu dalam kelompok 10 peratus terbawah isi rumah.

“Insiden kemiskinan mutlak bertambah baik daripada 7.6 peratus pada 2016 kepada 5.6 peratus pada 2019.

“Sementara itu, kemiskinan tegar direkodkan sebanyak 0.4 peratus pada 2019 berbanding 0.6 peratus pada 2016.

"Nilai pekali Gini telah meningkat sebanyak 0.008 mata indeks daripada 0.399 (2016) kepada 0.407 (2019) yang menunjukkan jurang pendapatan isi rumah semakin," katanya dalam laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas dan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah 2019, pada Jumaat.

Pekali Gini adalah ukuran ketidakseimbangan daripada 0 kepada 1, dengan 0 mewakili persamaan mutlak dan 1 mewakili ketidakseimbangan mutlak.

Sebanyak 30 laporan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan hari ini termasuk Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas, Malaysia, 2019; Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas mengikut Negeri dan Daerah Pentadbiran, 2019; Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah, Malaysia, 2019; serta Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah mengikut Negeri dan Daerah Pentadbiran, 2019.

Laporan mengikut negeri memaparkan tujuh negeri mencatatkan pendapatan penengah melepasi paras nasional.

Sementara itu, tiga negeri masing-masing Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor merekodkan nilai pendapatan purata lebih tinggi daripada paras nasional iaitu RM7,901.

Dalam perkembangan sama, Mohd Uzir memaklumkan perbelanjaan purata isi rumah meningkat 3.9 peratus pada 2019.

Hasil dapatan turut menunjukkan permintaan untuk sektor perkhidmatan oleh isi rumah semakin meningkat, tambah beliau.

“Komposisi perbelanjaan bagi komponen perkhidmatan meningkat kepada 52.1 peratus pada 2019.

“Corak perbelanjaan penggunaan isi rumah kekal kepada Kumpulan Utama Perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (23.6 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (17.3 peratus); restoran dan hotel (13.9 peratus) dan pengangkutan (13.5 peratus) yang menjadi empat kumpulan perbelanjaan tertinggi merangkumi 68.3 peratus daripada jumlah perbelanjaan isi rumah di Malaysia pada 2019,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah, beliau berkata laporan kali ini lebih memberi impak kerana analisis dapat dibuat sehingga peringkat daerah pentadbiran.

Katanya, data tersebut dijangka dapat memberi input berguna terutama dalam mengkaji kos sara hidup antara daerah.

Selain itu, komposisi perbelanjaan bagi kesihatan dan pendidikan turut menunjukkan peningkatan masing-masing sebanyak 0.2 mata peratus pada 2019.

Sementara, bagi perbelanjaan komunikasi kekal sama iaitu sebanyak 5.0 peratus.

“Lain-lain kumpulan utama yang menjurus kepada perbelanjaan pilihan pengguna turut meningkat.

“Perbelanjaan rekreasi dan kebudayaan meningkat masing-masing sebanyak 0.3 dan 0.1 mata peratus manakala hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah pula meningkat 0.2 mata peratus,” katanya.