KUALA LUMPUR:Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang bermula 9 Nov sehingga 6 Dis ini diputuskan, kerana pendekatan lebih tegas dan berani mesti diambil sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peningkatan bilangan kes baharu jangkitan COVID-19 telah mendatangkan kebimbangan serta keresahan dalam kalangan rakyat dan negara tidak lagi boleh terus kekal di dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sehubungan itu, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan supaya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang.

"Selain PKPB ini, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di lokaliti tertentu, yang mencatatkan kes positif COVID-19 yang tinggi," katanya dalam catatan di laman Facebooknya, hari ini.

Muhyiddin berkata sekatan perjalanan merentas negeri juga akan dilaksanakan, bagi mengurangkan pergerakan orang ramai dan aktiviti sosial sekali gus memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri Sarawak turut membuat pembentangan tentang Pelan Persiapan COVID-19 bagi negeri itu, dalam Sidang Khas MKN.

BACA: PKPB di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan, Pahang

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)

BACA: PKPB di Semenanjung? Ini SOP yang perlu anda tahu

BACA: PKPB: Apa yang boleh, apa yang tidak

Menerusi pembentangan itu, Muhyiddin berkata kerajaan negeri Sarawak telah membuat permohonan bagi menambah bilangan katil di unit rawatan rapi (ICU), dan meningkatkan kapasiti makmal ujian saringan pengesanan COVID-19 di tujuh hospital kerajaan di negeri tersebut.

Perdana Menteri turut meminta supaya kerajaan negeri berkenaan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kesihatan (KKM), bagi meneliti keperluan-keperluan itu dan diberikan pertimbangan sewajarnya.

Beliau turut berharap kesemua pendekatan yang diputuskan ini, akan membantu menurunkan kes-kes baharu jangkitan COVID-19 ke tahap paling rendah, bagi menjamin keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat.

Alhamdulillah, pagi ini saya telah mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menumpukan perhatian...

Posted by Muhyiddin Yassin on Saturday, 7 November 2020


-- BERNAMA