KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 3 Sept ini untuk mendengar permohonan bekas setiausaha politik kanan kepada perdana menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bagi menangguhkan prosiding kes rasuah yang dihadapinya sementara menunggu keputusan rayuan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Suzana Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Shamsul Iskandar memaklumkan pihaknya telah memfailkan permohonan berkenaan semalam.
"Memandangkan permohonan telah difailkan, saya masih perlu menetapkan satu tarikh untuk mendengar permohonan itu tetapi saya akan merekodkan bahawa pihak pendakwaan tidak membantah permohonan tersebut," kata Suzana.
Terdahulu, Amer Hamzah berkata Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md Nurdin telah menolak permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dan pihak pembelaan telah memfailkan rayuan dan ia akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 19 Jan tahun depan.
"Sehubungan dengan itu, pihak kami mohon prosiding kes di Mahkamah Sesyen ini ditangguhkan sehingga pelupusan rayuan tersebut. Permohonan mungkin boleh didengar hari ini memandangkan pihak pendakwaan tidak membantah perkara tersebut dan bagi menjimatkan masa mahkamah," kata peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan memaklumkan bahawa pihaknya baru sahaja menerima permohonan itu dan tidak membantah perkara berkenaan.
Shamsul Iskandar, 51, didakwa atas dua pertuduhan bersetuju menerima suapan untuk dirinya, iaitu wang tunai RM140,000 daripada ahli perniagaan Tei Jiann Cheing atau turut dikenali sebagai Albert Tei sebagai dorongan membantu syarikat milik Tei untuk mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Dia turut didakwa atas dua lagi pertuduhan iaitu memperoleh untuk dirinya satu suapan berupa kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu sama bagi tujuan sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya; di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin di sini; serta di Jalan P14A 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 7 Dis 2023 hingga 31 Jan 2024, serta antara 24 Nov 2023 hingga 5 Mac 2024.
Shamsul Iskandar turut didakwa atas satu pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Rahmalidya Buyong bagi tujuan pembayaran penyewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di sini, daripada Tei bagi membantu syarikat milik Tei untuk mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA