Skip to main content

Malaysia

Pendidikan, seni dan budaya berpotensi perkukuh hubungan Iran-Malaysia

ARZANI, ICCM
Habibreza Arzani berkata, kedua-dua negara mempunyai warisan Islam dan budaya yang boleh menjadi asas kepada kerjasama lebih luas.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Iran melihat diplomasi budaya dan hubungan rakyat dengan rakyat sebagai antara landasan penting untuk terus memperkukuh hubungan dengan Malaysia.

Kaunselor Kebudayaan Republik Islam Iran di Malaysia, Habibreza Arzani berkata, kedua-dua negara mempunyai warisan Islam dan budaya yang boleh menjadi asas kepada kerjasama lebih luas.

Menurutnya, hubungan itu boleh diperkukuh menerusi bidang pendidikan, kesarjanaan, seni, sastera, perfileman, dialog agama serta kerjasama kebudayaan.

“Saya percaya hubungan budaya dan pertukaran antara rakyat mampu membina jambatan persahabatan yang berkekalan.

“Iran dan Malaysia boleh terus memperkukuh hubungan ini melalui pendidikan, kesarjanaan, seni, sastera, perfileman, dialog agama dan kerjasama kebudayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena ulang tahun ke-1,500 kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Arzani berkata, pengalamannya sepanjang berkhidmat di Malaysia turut memperlihatkan hubungan yang erat menerusi interaksi bersama sarjana, intelektual, seniman, pemimpin agama, pelajar serta masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Menurutnya, masyarakat Malaysia menunjukkan sikap mesra, terbuka serta penghormatan yang tinggi terhadap budaya dan tamadun dunia Islam.

Dalam pada itu, beliau berkata Minggu Perpaduan membawa mesej bahawa kepelbagaian dalam dunia Islam tidak seharusnya dilihat sebagai penghalang kepada kesatuan.

Sebaliknya, perbezaan budaya, bahasa dan tradisi boleh dimanfaatkan untuk menggalakkan dialog, persefahaman serta kerjasama.

Katanya, umat Islam mempunyai lebih banyak persamaan yang menyatukan mereka, antaranya al-Quran, Nabi Muhammad SAW, solat, puasa, ibadah haji, kebajikan, nilai kekeluargaan serta tuntutan menimba ilmu.

Beliau berkata, nilai moral, belas ihsan, toleransi, keadilan dan kehidupan bersama secara aman yang dibawa Nabi Muhammad SAW kekal relevan dalam mendepani cabaran dunia hari ini.

Arzani turut berharap sambutan berkenaan dapat memperkukuh solidariti umat Islam, keamanan dan sikap saling menghormati, selain terus menyuburkan persahabatan antara Iran dan Malaysia.

Must Watch Video

Advertisement