KOTA BHARU:Kira-kira 500 penduduk termasuk nelayan yang tinggal di Kampung Pulau Pisang, di sini, meluahkan kebimbangan apabila sebuah rangka jambatan besi yang dihanyutkan arus tersangkut di tengah Sungai Kelantan di kampung mereka.

Mereka bimbang rangka jambatan itu akan terus dihanyutkan arus dan terkena jambatan, jeti atau bot nelayan di kawasan itu.

Penduduk, Mazlah Hussin, 54, berkata dia dan keluarga terkejut apabila terdengar bunyi bising di tengah sungai itu malam Jumaat lalu.

"Kami sekeluarga menjenguk ke luar tingkap dan mendapati satu objek menyerupai bot besar yang berada di tengah sungai itu. 

"Mulanya saya mengesyaki sebuah bot karam kerana 10 tahun lalu pernah ada kejadian bot karam di hadapan rumah ini," katanya dilaporkan Bernama.

Beliau berkata penduduk percaya rangka jambatan itu asalnya berada di kawasan hulu sungai sebelum musnah dan dihanyutkan arus akibat dirempuh kayu balak.

Mazlah berkata, ada pihak cuba memasang sauh beberapa kali bagi mengelak rangka jambatan itu terus hanyut, seterusnya merempuh bot-bot nelayan yang berada di pinggir sungai berkenaan, namun tidak berjaya.

"Ia merisaukan kami, kerana jaraknya agak dekat dengan kediaman di pinggir sungai.

"Sekiranya dibiarkan, kami khuatir ia boleh menjejaskan lebih 10 bot yang ditambat di kawasan sungai, selain merosakkan jeti berhampiran," katanya.

Katanya, penduduk kampung berharap agar rangka jambatan itu ditarik semula ke tempat asal, bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku pada musim banjir.