PARIT: Penduduk yang tinggal di pedalaman dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota di sini menikmati kemudahan pengangkutan percuma ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sejak seminggu lalu.

Inisiatif itu digerakkan Pusat Khidmat DUN Bota dengan Persatuan Pengusaha dan Pemandu Teksi/Kereta Sewa Bandar Seri Iskandar dengan penglibatan hampir 30 kenderaan.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, ramai kalangan penerima vaksin terutama yang tinggal di perkampungan orang asli di situ mengadu mereka berdepan kesulitan untuk hadir ke PPV disebabkan tinggal jauh dan masalah tiada kenderaan.

"Melihat kepada keperluan itu, kita gerakkan inisiatif ini dengan harapan dapat memudahkan mereka hadir ke PPV.

"Alhamdulillah, kita menerima maklum balas yang positif daripada kalangan penduduk dan sejak dimulakan minggu lalu, lebih 10 penerima vaksin telah menggunakan perkhidmatan ini sementara 20 orang lagi sudah ada dalam senarai untuk dihantar minggu ini," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota itu berkata, kerjasama dengan pemandu teksi dan kereta sewa secara tidak langsung dapat membantu kumpulan itu meraih pendapatan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

Katanya, dengan perkhidmatan yang disediakan, setiap pemandu menerima kadar bayaran antara RM20 hingga RM100 dengan jarak perjalanan10 ke 20 kilometer yang ditanggung sepenuhnya Pusat Khidmat DUN Bota.

"Selagi ada permintaan, perkhidmatan pengangkutan percuma ini akan kita teruskan dan kita pun sudah minta kerjasama ketua-ketua kampung untuk mengumpul dan menyelaraskan mereka yang memerlukan bantuan ini," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Teksi Daerah Perak Tengah/Seri Iskandar, Idris Mohd Sidek berkata, kerjasama itu telah memberi sinar baharu kepada golongan pemandu teksi yang terjejas teruk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Dulu ada juga penumpang kalangan pelajar IPT (institut pengajian tinggi), tetapi sekarang universiti pun dah tutup, memang kami langsung tak ada pendapatan.

"Harap lebih banyak usaha seperti ini dapat digerakkan bagi membantu pengusaha teksi di kawasan lain pula," katanya.

Bagi ibu tunggal, Rosina Bah Uda, 51, perkhidmatan teksi percuma itu katanya, banyak memudahkan proses suntikan dos keduanya di PPV Seri Iskandar yang jarak sejaun15 kilometer dari kediamannya di Kampung Orang Asli Tembuh Hangat.

"Masa suntikan dos pertama dulu, saya pergi ke PPV naik motosikal dengan kawan, takut dan risau semua ada kalau-kalau hujan atau pening selepas terima suntikan.

"Berbeza hari ini (Rabu) saya pergi naik kereta ada pendingin hawa, terima kasih atas keprihatinan Yang Berhormat, harap perkhidmatan ini diteruskan untuk memudahkan mereka yang senasib saya tiada kenderaan dan duduk jauh dari PPV," katanya.

Artikel asal di Sinar Harian: Penduduk Bota naik teksi percuma ke PPV