SHAH ALAM: Penduduk di daerah Petaling, Selangor dijangka hidup paling lama sehingga 80.5 tahun, mengikut perangkaan statistik bagi tahun 2023 dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Berdasarkan Jadual Hayat Ringkas Malaysia 2021-2023 menunjukkan, jangka hayat paling lama bagi penduduk daerah Samarahan, Sarawak pula dijangka (80.2 tahun), manakala Kalabakan, Sabah dianggarkan (78.9 tahun).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan jangkaan hayat ini disebabkan jumlah kematian pada tahun 2023 telah bertambah baik berbanding 2021 dan 2022 yang mana berlakunya lebihan kematian semasa pandemik COVID-19.

Menurutnya, dalam masa sama, daerah Kecil Lojing, Kelantan mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada 2023 iaitu 62.8 tahun.

"Secara keseluruhan, 31 daripada 156 daerah melepasi jangka hayat di peringkat nasional. Jangka hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki adalah di Petaling, Selangor (78.9 tahun) dan perempuan di Kalabakan, Sabah (82.8 tahun)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, seorang bayi yang lahir pada 2023 secara purata dijangka hidup sehingga 74.8 tahun, manakala secara purata, seorang bayi perempuan pada 2023 dijangka boleh hidup sehingga 77.4 tahun, lebih lama berbanding bayi lelaki pada 72.5 tahun.

"Jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut negeri bagi tempoh 2021 hingga 2023 dicatatkan di Selangor, manakala Terengganu mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada tempoh yang sama.

"Terdapat lima negeri yang mempunyai jangkaan hayat melebihi jangkaan hayat paras nasional pada 2021 hingga 2023 iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Sarawak," katanya.

Mohd. Uzir berkata, jangkaan hayat ketika lahir mencatatkan peningkatan 1.0 tahun pada 2023 berbanding 2022.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seorang lelaki yang mencapai usia 15 dan 60 tahun pada 2023 masing-masing dijangka hidup selama 58.3 tahun dan 18.3 tahun lagi.

"Ini bermakna, lelaki yang berumur 15 dan 60 tahun pada 2023 masing-masing dijangka hidup sehingga 73.3 tahun dan 68.3 tahun. Sebaliknya, wanita dalam kumpulan umur yang sama dijangka hidup selama 63.1 tahun dan 21.1 tahun lagi, menghasilkan jangka hayat masing-masing 78.1 tahun dan 81.1 tahun," ujarnya.

Jelasnya, kaum Cina terus mencatatkan jangkaan hayat tertinggi ketika lahir pada 2023 iaitu 77.0 tahun, sebaliknya, jangkaan hayat ketika lahir terendah dicatatkan oleh India 71.4 tahun.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian